Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 April - Jubin BMS Sdn Bhd (Jubin ), peneraju pembekal dan peruncit jubin, batu, mozek serta barang kebersihan, melancarkan bilik pameran tiga tingkat yang baru diperluaskan iaitu BMS Complex di Tebrau 3, Johor Bahru.
Pelancaran berkenaan turut disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bagi Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr. Chong Fat Full.
Lebih menarik, syarikat berkenaan juga menerima anugerah rasmi daripada Malaysia Book of Records bagi ‘ruang pameran jubin dan barang kebersihan terbesar di Malaysia’.
BMS Complex yang baru diperluaskan itu menggabungkan ruang pameran sedia ada untuk mencapai keluasan sekitar 70,000 kaki persegi.
Di kemudahan baharu tersebut, pelanggan boleh mencari pelbagai jenis jubin, batu, mozek dan kelengkapan kebersihan daripada pelbagai jenama bertaraf dunia yang dipamerkan menerusi bilik pameran inovatif.
Ia digabungkan dengan sistem logistik dan gudang yang cekap bagi memenuhi keperluan dan kemudahan pelanggan.
Pengarah Urusan Jubin BMS, Ang Kwee Peng berkata,
pihaknya teruja untuk mengumumkan pelancaran premis baharu yang lebih luas iaitu BMS Complex di Tebrau 3, Johor Bahru.
"Pembangunan berterusan kami bukan sekadar dari segi saiz, malah ia turut merangkumi kandungan dan kualiti, ketika kami berusaha untuk menawarkan pelanggan dengan produk terkemuka, pengalaman beli-belah lebih baik dan lebih banyak inspirasi untuk reka bentuk dalaman.
"Walaupun kebanyakan perniagaan berdepan dengan tempoh yang mencabar ketika ini, Jubin BMS tetap meneruskan misinya sejak 1990 bagi membantu pelanggan kami menjadikan impian sebagai kenyataan.
"Dengan kebanyakan orang meluangkan lebih masa di rumah disebabkan pandemik dan norma baharu, kami percaya pelancaran BMS Complex tepat pada masanya memandangkan pelanggan mencari produk dan perkhidmatan rekaan kediaman yang lebih baik, yang mana ditawarkan oleh kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Tingkat pertama BMS Complex menawarkan Galeri Stone & Surface yang mempamerkan pelbagai rangkaian marmar & granit semula jadi yang menarik dan bahan permukaan berformat besar lain yang dihasilkan menerusi teknologi canggih terkini.
Produk tersebut sukar diperoleh di pasaran kerana memerlukan ruang yang besar dan kemahiran pengendalian/fabrikasi khusus untuk dipamerkan.
Di tingkat dua pula terdapat Galeri Bath & Wellness yang mengandungi koleksi barang kebersihan yang luas dari jenama Jerman (Steinberg) dan Itali (Fima Carlo Frattini) hinggalah jenama pengedaran eksklusif dari Thailand (Cotto) dan jenama OEM (Eurano).
Di samping itu, tingkat ketiga adalah Dewan BMS Serbaguna iaitu ruang acara lengkap untuk konvensyen, latihan, seminar dan acara lain. - DagangNews.com