Jumlah graduan menganggur meningkat dengan ketara - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

Jumlah graduan menganggur meningkat dengan ketara - Jabatan Perangkaan

Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Jumlah graduan atau siswazah kian meningkat dengan ketara iaitu sebanyak 22.5% pada tahun lalu, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) berhubung Statistik Siswazah 2020.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, persekitaran ekonomi kurang memberangsangkan pada tahun lalu dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat sebanyak 37,200 kepada 202,400 orang.

 

“Penambahan ini dilihat bagi kedua-dua pemegang Ijazah (+22,400 orang) dan Diploma (14,800 orang) sebahagian besarnya dalam kalangan siswazah berumur lebih 35 tahun.

 

"Justeru, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5 mata peratus kepada 4.4% berbanding 3.9% pada tahun sebelumnya.

 

"Selain itu, lebih 75% daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja, yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang daripada tiga bulan," kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Dalam kalangan 4.35 juta siswazah bekerja pada 2020 pula, lebih daripada dua pertiga atau 68.8% bekerja dalam kategori pekerjaan mahir, namun bilangannya berkurang sebanyak 0.8% berbanding 2019.

 

Katanya lagi, pengurangan dilihat dalam kategori pekerjaan profesional serta juruteknik dan professional bersekutu. 

 

Sementara itu, kategori separuh mahir merekodkan peningkatan 19.3% terutama dalam kategori pekerja perkhidmatan dan jualan; dan operator loji dan mesin serta pemasang.

 

"Sehubungan itu, komposisi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir meningkat kepada 28.9% berbanding 25.6% pada tahun sebelumnya. Manakala, sebanyak 2.3% siswazah bekerja adalah dalam kategori pekerjaan berkemahiran rendah," jelasnya lanjut.

 

Beralih kepada siswazah bekerja mengikut kemahiran, Mohd Uzir menjelaskan bahawa satu lagi dimensi untuk dinilai bagi siswazah dalam pasaran buruh adalah mereka yang bekerja tetapi tidak dapat digunakan sepenuhnya, atau lebih dikenali sebagai guna tenaga tidak penuh.

 

Purata bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf pula turun 10.6% berbanding 2019 kepada RM4,489 berbanding RM5,020 pada tahun sebelumnya.

 

Pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1% berbanding 2019 manakala pemegang Diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5% pada tempoh yang sama.

 

"Dapat dilihat bahawa kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak lapan peratus kepada RM5,316 sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, jatuh sebanyak 2.7 peratus berbanding 2019," katanya. - DagangNews.com