Jumlah hasil cukai daripada Cukai Makmur masih belum dapat ditentukan : Deloitte | DagangNews Skip to main content

Jumlah hasil cukai daripada Cukai Makmur masih belum dapat ditentukan : Deloitte

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Nov - Jumlah hasil cukai yang boleh dijana daripada pelaksanaan Cukai Makmur masih belum dapat ditentukan memandangkan lebih daripada 90% pertubuhan perniagaan di Malaysia terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Deloitte Malaysia berkata, walaupun hasrat pelaksanaan cukai tersebut adalah untuk mencukai syarikat yang telah menunjukkan prestasi yang baik walaupun berlaku wabak, masih belum dapat dilihat berapa banyak hasil cukai yang boleh dijana daripada cadangan ini, memandangkan lebih daripada 90% pertubuhan perniagaan di Malaysia adalah PKS. 

 

Katanya, memandangkan cadangan itu juga memberi kesan kepada semua syarikat, sektor perladangan kelapa sawit, yang sudah tertakluk kepada levi keuntungan luar biasa, kemungkinan akan dikenakan cukai makmur juga, 

 

"Mungkin cadangan untuk menaikkan ambang harga minyak sawit mentah (MSM) untuk mengenakan levi ini bertujuan untuk memberikan sedikit kelegaan kepada sektor ini. 

 

"Sebaliknya, Cukai Makmur boleh memberi insentif kepada korporat besar untuk meningkatkan perbelanjaan perniagaan dan mempercepatkan pelaburan modal, dalam usaha mengurangkan keuntungan boleh cukai di bawah ambang.

 

"Cadangan lanjutan pelbagai insentif seperti elaun pelaburan semula khas akan menjadi pengaruh yang kuat untuk menggalakkan korporat melabur lebih banyak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Deloitte hari ini mengeluarkan FAQ berkaitan Bajet 2022. 

 

Dalam pada itu menjawab persoalan mengenai rasional  di sebalik mengenakan cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah (LVG), Deloitte berkata, barangan yang diimport ke Malaysia melalui udara yang nilainya di bawah RM500 pada masa ini tidak tertakluk kepada cukai jualan. 

 

"Ketika ini pengguna tempatan yang membeli barangan dalam talian daripada penjual antarabangsa menikmati pembelian tanpa cukai.Ini meletakkan penjual tempatan dalam keadaan yang tidak menguntungkan. 

 

"Selaras dengan langkah yang dilihat di peringkat serantau dan global, Kerajaan kini berusaha untuk mengutip cukai ke atas import barangan tersebut. Ini memastikan bahawa terdapat layanan yang sama untuk barangan yang diperoleh daripada penjual tempatan dan asing," katanya. -DagangNews.Com