Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi meningkat 2.1% kepada 8.94 juta pada suku keempat 2023 – DOSM  | DagangNews Skip to main content

Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi meningkat 2.1% kepada 8.94 juta pada suku keempat 2023 – DOSM 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi meningkat 2.1% kepada 8.94 juta pada suku keempat 2023 (4Q23), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berbanding 8.76 juta juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya (4Q22).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan jumlah jawatan ini menunjukkan permintaan buruh di Malaysia kekal menggalakkan dan stabil, seterusnya menyokong prospek ekonomi yang lebih baik pada tahun ini.

 

Beliau turut mendedahkan bahawa jumlah jawatan diisi berdasarkan prestasi tahun ke tahun meningkat 2.1% dari 8.56 juta pada 4Q22 kepada 8.74 juta pada 4Q23.

 

“Sementara itu, jumlah kekosongan jawatan menurun 1.1% kepada 190,200 kekosongan pada 4Q23 berbanding 192,400 sebelumnya. Bagaimanapun, kadar jawatan diisi kekal tinggi pada 97.9% manakala kadar kekosongan jawatan adalah 2.1%. 

 

“Bagi pewujudan jawatan pada suku tahun ini, ia meningkat sebanyak 0.6% atau 31,100 jawatan berbanding 30,900 sebelumnya,” kata Mohd Uzir mengulas Statistik Guna Tenaga Suku Keempat 2023 berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar dalam sektor swasta.

 

Melihat kepada senario jawatan diisi pada suku dalam tinjauan, beliau percaya semua sektor ekonomi kekal stabil dan menunjukkan pertumbuhan positif dari tahun ke tahun, dengan sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada kadar 3.6%, diikuti sektor pembuatan (2.4%) dan perkhidmatan (2.2%). 

 

Menurut beliau, sejumlah 4.6 juta jawatan yang merangkumi 52.6% daripada jumlah jawatan diisi tertumpu pada sektor perkhidmatan, diikuti oleh pembuatan (27%; 2.36 juta) dan pembinaan (14.2%; 1.24 juta). 

 

Mengikut kategori kemahiran, Mohd Uzir berkata kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 62.7% dengan 5.48 juta jawatan, diikuti oleh kategori mahir dan berkemahiran rendah masing-masing pada kadar 25% (2.19 juta) dan 12.3% (1.08 juta).

 

“Suku tahun keempat 2023 menyaksikan pertumbuhan sederhana di tengah-tengah gelombang makroekonomi yang berlanjutan, konflik geopolitik dan sentimen berjaga-jaga dalam perniagaan menjelang 2024. 

 

“Bagaimanapun, pasaran buruh dijangka akan kekal stabil pada suku akan datang rentetan daripada pelaburan dan pertumbuhan dalam kebanyakan industri. 

 

“Selain itu, permintaan dalam sektor ekonomi dijangka akan terus meningkat selaras dengan pemulihan global, peningkatan perbelanjaan pengguna dan aktiviti perniagaan yang lebih menggalakkan,” ujar Mohd Uzir dalam satu kenyataan media hari ini. - DagangNews.com