Jumlah jualan kondom dan harga jualan sarung tangan yang lebih rendah jejas prospek Karex | DagangNews Skip to main content

Jumlah jualan kondom dan harga jualan sarung tangan yang lebih rendah jejas prospek Karex

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Jumlah jualan kondom dan harga jualan sarung tangan yang lebih rendah serta kelewatan dalam pelan pengembangan sarung tangan merupakan antara faktor CGS CIMB menyemak semula sasaran pendapatan sesaham (EPS) Karex Berhad untuk tahun kewangan 2022 dan 2023.

CGS CIMB menurunkan EPS Karex di antara 58.1-66.3% selepas syarikat itu melaporkan rugi bersih berjumlah RM2.7 juta bagi suku keempat tahun kewangan 6/2021.

"Harga sasaran sesaham juga jatuh kepada RM0.47 sesaham dan kami menukar saranan kepada 'Pegang' kerana kami yakin penilaian semasa mempunyai prospek pendapatan yang lebih baik," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

CGS CIMB berkata, untung bersih berjumlah RM3.8 juta yang dicatatkan Karex tidak menepati unjuran yang dibuat sebelum ini disebabkan oleh kos yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan dan output pengeluaran yang lebih rendah kesan daripada COVID-19.

"Kami menjangkakan prospek jangka pendek akan perlahan kerana kos operasi dan kos permulaan yang lebih tinggi untuk kilang sarung tangan baharunya," katanya.

Karex menjangkakan kemudahan pengeluaran sarung tangan baharunya di Thailand akan memulakan operasi pada suku keempat tahun kewangan 2022, ia lewat 6 bulan daripada jangkaan yang dibuat CGS CIMB sebelum ini.

Karex melaporkan kerugian bersih sebanyak RM2.7 juta selepas mengambil kira kerugian satu kali berjumlah RM2.4 juta berikutan susut nilai ke atas penghutan (RM1.2 juta). kemerosotan aset (RM0.9 juta) dan penghapusan inventori sebanyak RM0.3 juta.

Ia sekaligus menjadikan keuntungan bersih yang dicatatkan Karex adalah 10 peratus di bawah jangkaan CGS CIMB..-DagangNews.com