Jumlah pelanggan menaiki bas, feri melonjak 48% semasa musim perayaan Aidilfitri 2024 - redBus | DagangNews Skip to main content

Jumlah pelanggan menaiki bas, feri melonjak 48% semasa musim perayaan Aidilfitri 2024 - redBus

Jumlah pelanggan yang menaiki bas dan feri melonjak sebanyak 48% semasa musim hari raya tahun ini. - Gambar hiasan
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Platform pelancongan dalam talian, redBus mencatatkan lonjakan besar sebanyak 48% terhadap jumlah pelanggan yang menaiki bas dan feri semasa musim perayaan Aidilfitri tahun ini berbanding bukan waktu puncak.

 

Pada masa sama, syarikat itu juga turut mencatatkan perkembangan sebanyak 30.5% dari segi pembelian tiket bas berbanding musim perayaan tahun lalu berdasarkan tempahan tiket yang dibuat menerusi platform mereka.

 

Ketua Pegawai Perniagaan redBus, Krishnan Ramaswami berkata, semasa musim perayaan, pihaknya menyediakan lebih 27,000 perkhidmatan bas dan feri di laluan-laluan popular menerusi platform mereka walaupun terdapat 20% pengguna Malaysia menghadapi cabaran untuk mendapatkan tiket kerana ketersediaan yang terhad.

 

"Kami kekal komited menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pengguna di Malaysia dengan berkongsi maklumat seperti ini  kepada pengendali bas serta pengguna dalam usaha untuk membuat keputusan lebih baik untuk perjalanan mereka.

 

"Pendekatan kami dipacu oleh data yang membantu menyesuaikan diri dengan keperluan dinamik pelanggan dan pengendali bas dan kami kekas komited untuk membentik masa depan pengangkutan moden di negar ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

redbus

 

Berdasarkan dasar syarikat itu, waktu paling optimal bagi perjalanan bas dalam kalangan pengguna ialah antara 6 pagi dan 12 tengah hari, manakala 9 pagi merupakan waktu bertolak paling popular.

 

Sebanyak 82% daripada tempahan tiket adalah untuk tiket sehala untuk seorang individu, menunjukkan keutamaan untuk pilihan perjalanan yang fleksibel serta diskaun sehala dalam kalangan pengguna.

 

"Antara laluan popular bagi bas semasa musim perayaan kali ini ialah Kuala Lumpur ke Melaka, Johor Bahru ke Kuala Lumpur, Melaka ke Kuala Lumpur, Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur ke Kuantan.

 

"Laluan Pasir Gudang ke Kangar merupakan perjalanan bas terpanjang melibatkan perjalanan lebih 836km dan mengambil masa lebih kurang 12 jam setengah," katanya.- DagangNews.com