Jumlah pelanggan Netflix merosot | DagangNews Skip to main content

Jumlah pelanggan Netflix merosot

 

 

SAN FRANCISCO 22 Okt. – Berikutan persaingan sengit dalam sektor penstriman video dan kelonggaran pelaksanaan perintah berkurung akibat pandemik COVID-19, langganan baharu Netflix kini mencatatkan kemerosotan tertinggi dalam tempoh empat tahun.

 

Menurut laporan Reuters, Netflix berjaya menambah sejumlah 2.2 juta pelanggan berbayar pada suku ketiga tahun 2020.

 

Perolehan bagi setiap syer berdasarkan laporan data IBES dari Refnitiv pula lebih rendah daripada jangkaan para penganalisis (AS$1.74) berbanding ramalan konsensus yang menganggarkan perolehan sebanyak AS$2.14.

 

Saham Netflix yang mencatatkan keuntungan tertinggi pada tahun ini berikutan keperluan perintah berkurung akibat COVID-19 kini merosot hampir 6% kepada AS$494 selepas waktu dagangan pada hari Selasa.

 

Sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19 sepanjang bulan Januari sehingga Mac, bilangan pelanggan berbayar Netflix melonjak sehingga 15.8 juta orang.

 

Sebelum ini, Netflix mengingatkan para pelabur bahawa peningkatan jumlah langganan baharu secara mendadak mungkin merosot menjelang separuh akhir tahun ini ekoran pelaksanaan perintah berkurung dilonggarkan.

 

Menurut ramalan Netflix, sebanyak 6 juta pelanggan baharu di seluruh dunia dijangka melanggan saluran penstriman video itu pada suku keempat tahun 2020, lebih rendah daripada jangkaan para penganalisis iaitu 6.5 juta langganan baharu.

 

Bagi menarik lebih ramai pelanggan baharu untuk terus bersaing dalam industri saluran penstriman video yang kian sengit, Netflix turut menyiarkan filem-filem seperti “Emily in Paris”, “Enola Holmes” dan “The Devil All the Time” pada suku ketiga tahun ini.

 

“Berbanding keseluruhan tahun 2019, Netflix berjaya menarik masuk lebih ramai pelanggan pada sembilan bulan pertama tahun 2020 dengan sejumlah 195.2 juta pelanggan global pada suku ketiga 2020,” kata Netflix.

 

Syarikat tersebut juga dijangka menghabiskan rakaman lebih 150 produksi menjelang akhir tahun 2020 sebelum karya asli itu disiarkan pada setiap suku tahun 2021.

 

“Hasil pada suku ketiga tahun ini meningkat sebanyak 22.7% iaitu AS$6.44 bilion melebihi anggaran AS$6.38 bilion, manakala pendapatan bersih bertambah kepada AS$790 juta atau AS$1.74 setiap syer daripada AS$665.2 juta atau AS$1.47 sesaham pada suku pertama tahun sebelumnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Reed Hastings. – DagangNews.com