Jumlah penganggur turun kepada 566,100 orang pada Mei 2024, kadar penyertaan buruh kekal 70.3% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah penganggur turun kepada 566,100 orang pada Mei 2024, kadar penyertaan buruh kekal 70.3% - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Bilangan penganggur terus menurun kepada 566,100 orang pada Mei 2024, dengan kadar pengangguran kekal pada paras 3.3%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang mengalakkan pada Mei 2024 membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan stabil dengan bilangan tenaga buruh terus mengukuh sebanyak 0.1% menjadi 17.15 juta orang berbanding 17.12 juta pada April lalu.

 

Beliau berkata, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada paras 70.3%.

 

"Bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan trend menaik, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 16.58 juta orang, berbanding 16.56 juta orang yang direkodkan pada April 2024 manakala bilangan penganggur pada bulan Mei 2024 berubah sedikit kepada 566,100 orang berbanding 566,400 orang.

 

"Kadar pengangguran pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 3.3% seperti pada bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

buruh

 

Mengulas mengenai situasi pengangguran, Mohd Uzir berkata, daripada jumlah penganggur pada Mei 2024, sejumlah 79.9% merupakan mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

 

Beliau berkata, kategori itu menurun sebanyak 0.1% merekodkan 452,000 orang (April 2024: 451,400 orang) dan berdasarkan tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.5% adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.8% adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. 

 

"Penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia turun sebanyak 0.8% kepada 114,000 orang (April 2024: 115,000 orang)," katanya.

 

Beliau berkata, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pada Mei 2024, turun kepada 10.5% atau 305,600 orang manakala kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah 6.5%, dengan bilangan penganggur belia seramai 434,600 orang (April 2024: 6.5%; 434,900orang).

 

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Mei 2024 terus berkurang, dengan sedikit penurunan sebanyak 0.003% kepada 7.23 juta orang (April 2024: 7.23 juta orang). 

 

"Komposisi utama penduduk di luar tenaga buruh adalah kerja rumah/ tanggungjawab keluarga iaitu pada 42.7%, diikuti oleh sebab bersekolah/ latihan pada 41.4%," katanya.

 

Mengulas lebih lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd. Uzir berkata, pada Mei 2024, 75.1% daripada jumlah penduduk bekerja berada dalam kategori pekerja, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1% kepada 12.44 juta orang berbanding 12.43 juta orang pada April 2024.  - DagangNews.com