Jumlah TIV diunjur susut 14% kepada 625,000 unit pada 2024, RHB Investment kekal 'neutral' terhadap sektor automotif | DagangNews Skip to main content

Jumlah TIV diunjur susut 14% kepada 625,000 unit pada 2024, RHB Investment kekal 'neutral' terhadap sektor automotif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Dis - RHB Investment mengunjurkan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) menyusut 14% kepada 625,000 unit pada 2024 berbanding 725,000 unit pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun kekal neutral terhadap sektor itu dan menyatakan bahawa unjuran itu adalah berdasarkan ketidaktentuan pasaran pada tahun hadapan dan prospek bagi sektor itu kekal kabur.

 

Mereka menjangkakan TIV lebih lemah kerana tidak melihat sebarang pemangkin menarik bagi jualan kereta pada 2024.

 

"Pilihan utama kami masih Bermaz Auto, kerana kami masih menyukai pemberian dividen sekitar 10%.
 

"Kami juga percaya jualan keretanya akan kekal berdaya tahan berbanding jenama lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, Perodua berjaya mencatatkan jualan sebanyak 32,000 unit kereta manakala Proton berjaya menjuak 12,000 unit kereta pada November tahun ini.

 

Jumlah itu menjadikan jualan terkumpul bagi 11 bulan tahun ini kepada 299,000 unit bagi Perodua dan 139,000 unit bagi Proton, peningkatan masing-masing sebanyak 19% dan 14% berbanding tahun lalu.

 

"Bezza dan Saga merupakan model paling laris buat Perodua dan Proton kerana merupakan kereta sedan termurah mereka

 

"Memandangkan persekitaran kadar faedah yang tinggi, kami percaya trend memihak kepada model yang lebih murah akan berterusan pada 2024 merentas jenama pasaran besar seperti seperti Perodua, Proton, Toyota, dan Honda," katanya. - DagangNews.com