KUALA LUMPUR 31 Jan - AmInvestment Bank mengekalkan saranan BELI bagi saham Lagenda Properties Bhd (Lagenda) dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak RM1.94 susulan pemeteraian perjanjian dengan Kumpulan Inta Bina.
Bank pelaburan itu turut positif dengan pengumuman berkenaan dan menyifatkan ia langkah tepat pada masanya untuk memanfaatkan kepakaran Inta Bina.
Ujarnya, usaha sama (JV) itu juga akan mempercepatkan pelan induk Lagenda untuk mengembangkan perniagaannya menyediakan rumah mampu milik ke negeri lain di luar Perak.
"Dari segi kewangan, kami menjangkakan impak minimum untuk pendapatan FY21F-FY23F daripada JV.
"Walau bagaimanapun, kami menjangkakan peningkatan pendapatan dari FY24F dan seterusnya sebanyak 1-3% dengan mengandaikan pelaksanaan lancar dan kawalan kos yang baik dalam JV tersebut.
"Buat masa ini, kami mengekalkan pendapatan FY21F-FY23F kami kerana Lagenda bersedia untuk mencapai sasaran jualan FY21F sebanyak RM1 bilion selaras dengan jangkaan kami," katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.
Tambah AmInvestment, dalam jangka masa panjang, niche Lagenda dalam rumah mampu milik memberi petanda baik untuk prospeknya kerana ia adalah segmen dengan permintaan paling kukuh dalam pasaran hartanah.
Minggu lalu, Lagenda telah memeterai perjanjian dengan Kumpulan Inta Bina (Inta Bina) untuk menubuhkan usaha sama (JV) Lagenda Inta Sdn Bhd (LISB) untuk menjalankan aktiviti pembinaan.
Inta Bina, sebuah syarikat pembinaan tersenarai di Bursa Malaysia dengan modal pasaran RM150 juta, telah melaksanakan lebih 130 projek pembinaan dengan nilai keseluruhan RM3.5 bilion.
Dijangka beroperasi pada 1Q2022, LISB menyediakan persediaan secara strategik untuk mempercepatkan aktiviti pembinaan untuk Lagenda di luar Perak. -DagangNews.com