KUALA LUMPUR 21 Mac - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menggesa pihak pengawalseliaan supaya membenarkan penggunaan mata wang digital seperti kripto untuk membantu golongan muda yang menggunakan mata wang ini secara aktif terutama dalam platform perdagangan token ‘nonfungible’ (NFT).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya akan meneliti cara untuk meningkatkan penyertaan golongan muda dalam mata wang tersebut.
“Semua ini di bawah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
''Bagaimanapun, kita di pihak kementerian ingin daftarkan, sebab ini adalah perniagaan dan program kewangan masa depan, terutama buat anak muda sekarang.
“Kita harap kerajaan dapat dan cuba ‘legalise’ (membenarkan di sisi undang-undang) perkara ini supaya penyertaan anak muda dalam mata wang kripto dapat kita kembangkan dan bantu mereka dari segi penggunaan tenaga dan sebagainya,” katanya, Bernama melaporkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tidak iktiraf mata wang kripto: MOF
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH) mengenai pendirian kerajaan dan K-KOMM berkaitan perdagangan dalam platform NFT yang semakin menjadi perhatian di Malaysia, terutama bagi kalangan anak muda.
Pada 10 Mac lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kripto tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah diperlakukan di Malaysia, dan bukan instrumen pembayaran yang dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut beliau, aset digital seperti Bitcoin dan Ethereum tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran kerana ia tidak menunjukkan ciri universal wang.
"Secara umum, aset digital bukan penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik. Ini disebabkan keadaan aset digital yang terdedah kepada turun naik harga tidak menentu akibat pelaburan spekulatif, risiko kecurian akibat ancaman siber dan kekurangan dari segi boleh skala.
"Memandangkan teknologi pembayaran dan landskap aset digital semakin berkembang, pihak BNM sedang menilai secara aktif potensi mata wang digital bank pusat (CBDC), termasuk teknologi lejar teragih (DLT) untuk mencapai objektif dasar awam," katanya.- DagangNews.com