BERA 17 Nov - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kabinet bayangan yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu hanya propaganda pembangkang menjual 'produk mimpi' bagi meraih sokongan rakyat.
Perdana Menteri berkata, apa yang dilakukan pembangkang juga hanya untuk mengelirukan rakyat menjelang dua hari lagi tempoh berkempen, lapor Berita Harian.
Katanya, fokus Barisan Nasional (BN) jelas dan hanya mahu menawarkan produk yang terbaik untuk rakyat tanpa menjanjikan sesuatu yang sukar ditunaikan.
"Saya sendiri tidak mengeluarkan sebarang Kabinet bayangan sepanjang tempoh berkempen kerana fokus untuk menang pilihan raya terlebih dulu.
"Apa yang dilakukan pembangkang hanyalah perang psikologi tanpa berasaskan fakta sebenar," katanya ketika ditemui di Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Kerayong, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Ismail Sabri berkata, sepanjang tempoh berkempen, BN menawarkan produk sebenar iaitu manifesto yang mampu ditunaikan.
Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, pembangkang hanya menjual 'produk mimpi' tanpa bersandarkan keupayaan sebenar mereka.
Sejak beberapa hari lalu, tular di laman sosial Kabinet Bayangan pembangkang termasuk menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Ismail Sabri sebelum ini turut memberi komitmen untuk mengecilkan saiz Kabinet dengan keanggotaannya turut diisi dengan tenaga teknokrat sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). - DagangNews.com