Kadar ambilan Acacia 2 Mah Sing cecah RM57.2 juta nilai pembangunan kasar | DagangNews Skip to main content

Kadar ambilan Acacia 2 Mah Sing cecah RM57.2 juta nilai pembangunan kasar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

JOHOR BAHRU 7 Dis. – Hanya dalam tempoh seminggu, rumah dua tingkat di Meridin East, Acacia fasa kedua yang dibangunkan oleh Kumpulan Mah Sing Berhad mencapai 80% kadar ambilan (take up).

 

Jumlah itu merangkumi 94 unit dan nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM57.2 juta.

 

Pada fasa pertama yang dilancarkan 8 Februari lalu telah meraih kadar ambilan 100% dengan 93 unit dan GDV RM55.4 juta.

 

“Kami berharap kadar ambilan Acacia fasa kedua ini akan mencapai prestasi memberangsangkan seperti Acacia fasa pertama,” kata Ketua Pegawai Operasi Mah Sing, Benjamin Ong dalam satu kenyataan hari ini.

 

Benjamin Ong
Benjamin Ong

 

Dilancarkan secara maya pada 5 Disember lalu, Acacia fasa kedua boleh ditempah serendah RM200 seunit dengan kadar faedah bank rendah membolehkan pelanggan memiliki kediaman itu bermula RM1,150 setiap bulan bersempena Goodbye 2020 Sale.

 

Selain itu, pembangunan kediaman itu juga melibatkan projek Kempen Eazy to Own Mah Sing yang menawarkan pembiayaan Maybank Islamic HouzKEY yang memudahkan pembeli memiliki rumah sehingga 100% pembiayaan dan bayaran ansuran bulanan rendah.

 

Tambah Ong, kadar ambilan Acacia fasa kedua yang menggalakkan menjadi bukti kepada permintaan hartanah mampu milik dan berkualiti selain terletak di lokasi strategik.

 

Acacia

 

“Hasil positif ini didorong oleh Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2020 kerajaan. Pembeli boleh memanfaatkanya di bawah Penjana yang merangkumi pengecualian duti setem pada instrumen pindah milik hartanah terhad kepada RM1 juta pertama daripada harga rumah, dan pengecualian duti setem penuh untuk perjanjian pinjaman,” tambah beliau.

 

Kediaman dua tingkat Acacia dijangka selesai pada suku keempat 2021 (4Q21) bagi fasa pertama dan 4Q22 untuk fasa kedua.  – DagangNews.com