Kadar bebas risiko, rujukan alternatif gantikan LIBOR - BNM | DagangNews Skip to main content

Kadar bebas risiko, rujukan alternatif gantikan LIBOR - BNM

Gambar MalayMail

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Mac - Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan bahawa kadar bebas risiko (RFR) digunakan sebagai rujukan alternatif bagi menggantikan Kadar Tawaran Antara Bank London (LIBOR). 

 

Ini selepas penamatan penggunaan LIBOR secara kekal yang dibenarkan atas beberapa pertimbangan, hasil mesyuarat MPS ke-210, hari ini. 

 

“(Pertama) kaedah kompaun hanyalah kaedah aritmetik untuk menentukan kadar tempoh yang tidak menjejaskan pematuhan syariah sesuatu urus niaga; dan

 

“(Kedua) ketidakpastian (gharar) yang berlaku dalam sesuatu kontrak yang terhasil daripada penggunaan kadar purata bebas risiko atau kadar tempoh berasaskan pandang ke belakang (backward-looking) pada waktu pembayaran boleh diatasi. 

 

“Antaranya melalui penentuan dan pendedahan harga jualan siling dan formula pengiraan pembayaran berkala kepada pelanggan pada awal kontrak,” kata BNM dalam sebuah kenyataan.

 

Tambah BNM, dalam proses peralihan kepada RFR, jawatankuasa syariah setiap institusi kewangan Islam hendaklah menentukan kesesuaian penggunaan kaedah anggap setuju (deemed consent) dalam memperakui persetujuan pelanggan bagi memasukkan peruntukan sandaran (fallback provision) ke dalam terma dan syarat kontrak.

 

Pada tahun 2017, Financial Conduct Authority United Kingdom (FCA) telah mengumumkan bahawa penerbitan LIBOR akan ditamatkan pada akhir tahun 2021. 

 

Kekurangan bilangan urus niaga yang benar-benar berdasarkan LIBOR menjadikan kadar rujukan tersebut tidak lagi tepat bagi menggambarkan keadaan pasaran dan tidak mampan. 

 

Oleh itu, semua kontrak sedia ada yang merujuk kepada LIBOR perlu beralih kepada kadar rujukan alternatif sebelum akhir tahun 2021.

 

Berdasarkan lampiran yang disediakan, keputusan itu berkuat kuasa serta merta pada tarikh penerbitannya di laman sesawang BNM pada 22 Mac 2021 dan terpakai ke atas institusi kewangan Islam (IKI).

 

Katanya, ini termasuk orang berlesen menurut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI); bank berlesen dan bank pelaburan berlesen yang diluluskan di bawah seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam; dan institusi yang ditetapkan yang diluluskan di bawah seksyen 33B(1) Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA) untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam.

 

Jelas BNM, selaras dengan seksyen 28(1) dan (2) APKI atau seksyen 33D(1) dan (2) DFIA, mengikut mana-mana yang berkenaan, IKI dikehendaki mematuhi keputusan itu. 

 

Ini susulan pematuhan terhadap apa-apa keputusan MPS dengan sebarang matlamat tertentu dan pengendalian perniagaan, hal ehwal atau aktiviti IKI tersebut adalah disifatkan sebagai pematuhan kepada syariah. - DagangNews.com