KUALA LUMPUR 14 Julai - Moody’s Analytics menjangkakan kadar inflasi dalam ekonomi membangun termasuk Malaysia dan Indonesia akan kembali kepada bacaan yang lebih normal pada kadar sama seperti ekonomi maju.
Katanya, bacaan itu mungkin menggambarkan penggunaan subsidi kerajaan yang agak ketara untuk mengekalkan harga domestik yang rendah, sekali gus mengurangkan inflasi.
“Selain itu, Malaysia dan Indonesia kaya dengan sumber asli seperti komoditi tenaga (arang batu terma, minyak dan gas) dan bijih mineral (aluminium, besi dan nikel) yang mengurangkan pergantungan mereka terhadap import dan pendedahan yang berkaitan dengan inflasi import.
“Sebagai contoh, Indonesia menggunakan obligasi pasaran domestik ke atas sebahagian besar komoditi ini, yang memerlukan perniagaan menjual sebahagian daripada hasil mereka di dalam negara dan pada diskaun kepada harga pasaran,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Katanya, inflasi berterusan yang lebih tinggi dalam ekonomi lebih maju seperti Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan mungkin dijelaskan oleh kekurangan sumber asli menyebabkan negara-negara ini perlu menerima harga semasa dan lebih terdedah kepada inflasi diimport.
“Ekonomi-ekonomi ini berpengkhususan dalam industri nilai tambah tinggi seperti pembuatan berteknologi tinggi yang sering menggunakan input import untuk menghasilkan produk mereka.
“Di Australia dan New Zealand, bank-bank pusat berjaya menggunakan dasar monetari untuk mengekalkan inflasi dalam lingkungan sasaran mereka sepanjang tempoh 20 tahun, disokong oleh dasar kerajaan yang menyumbang kepada inflasi berterusan yang rendah dalam ekonomi ini,” katanya. - DagangNews.com