Kadar pengangguran dijangka menghampiri paras sebelum pandemik menjelang 2023 | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran dijangka menghampiri paras sebelum pandemik menjelang 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kadar pengangguran di negara ini dijangka menghampiri paras sebelum tercetusnya pandemik COVID-19 menjelang 2023 yang diunjur sekitar 3.7%, demikian menurut MIDF Research.

 

Sebelum wabak itu melanda negara ini dan seluruh dunia, kadar pengangguran di Malaysia berada pada paras 3.4%, sebelum melonjak lebih 4% berbanding kadar purata 3% yang direkodkan dalam tempoh prakrisis.

 

Ini menyebabkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.5% pada 2020, kadar tertinggi yang dicatatkan sejak 1993 iaitu 4.1%. Pada Disember 2021, kadar pengangguran menurun kepada 4.2%. 

 

Dalam laporan tematiknya hari ini, firma itu mengunjurkan kadar pengangguran akan terus menurun tahun ini kepada 4% memandangkan ekonomi domestik semakin menampakkan pemulihan didorong momentum berterusan dalam perdagangan global dan harga komoditi yang tinggi.

 

Katanya, kerajaan juga dijangka tidak melaksanakan sekatan yang ketat seperti sebelum ini kerana ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasaran buruh.

 

"Pengembangan makroekonomi yang stabil akan membantu menurunkan kadar pengangguran ke paras sebelum pandemik pada 3.7% pada tahun hadapan.

 

"Ekonomi Malaysia diunjur berkembang dalam julat 4.5 hingga 5.5% setahun seperti dibentangkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi 2023," katanya dalam laporan berkenaan.

 

 

sekatan jalan raya
Sekatan pergerakan yang ketat boleh menjejaskan  semula usaha pemulihan ekonomi dan juga pasaran buruh.

 

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 9 Februari lalu menunjukkan penduduk bekerja pada Disember 2021 terus meningkat dengan peningkatan marginal sebanyak 0.2% bulan ke bulan kepada 15.65 juta orang daripada 15.61 juta orang pada November 2021.

 

Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga mencatatkan sedikit peningkatan kepada 66.1% (berbanding 66% pada November 2021). 

 

Mengenai pelaksanaan gaji minimum yang akan dilaksanakan akhir tahun ini, MIDF Research berpendapat, langkah tersebut adalah tepat pada masanya berdasarkan prestasi ekonomi yang berada dalam kedudukan lebih baik pada separuh kedua 2022. 

 

Malah, katanya, cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 juga mampu melindungi dan memberi manfaat kepada 15.4% tenaga kerja terutama yang berumur di bawah 24 tahun.

 

"Dengan menganggarkan gaji untuk kumpulan umur lain dikekalkan, menaikkan gaji median untuk umur 15 hingga 24 tahun kepada RM1,500 akan meningkatkan 1.5% daripada jumlah gaji.

 

"Kumpulan umur 20 hingga 24 tahun dan buruh berpendidikan rendah pernah mendapat lebih daripada RM1,500 pada 2019.

 

"Pada tahun yang sama juga, kumpulan berumur 15 hingga 19 tahun pernah menerima gaji RM1,450 manakala bagi buruh tanpa pendidikan normal dibayar RM1,436," jelasnya.

 

 

ladang sawit
Kerajaan dijangka menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 berbanding RM1,2000 akhir tahun ini.

 

 

Dalam pada itu, MIDF Research juga menjangkakan Malaysia akan membuka sempadan antarabangsa paling awal pada 1 Jun 2022. 

 

"Dengan lonjakan kes varian Omicron, kami berpendapat kerajaan akan memastikan kadar vaksinasi yang lebih tinggi mengikut populasi serta dos penggalak," katanya.

 

Setakat 22 Februari 2022, sebanyak 78.8% daripada jumlah populasi sudah menerima 2 dos vaksin manakala dos penggalak berada pada 43.1%. 

 

Firma itu percaya, nisbah penerima dos penggalak akan melebihi 50% menjelang Jun tahun ini manakala penerima 2 dos akan meningkat kepada 80% dan lebih ramai kanak-kanak mengambil suntikan vaksin.

 

"Sejajar dengan pembukaan semula sempadan dan kadar vaksinasi ini, kami melihat kemungkinan kemasukan pekerja asing dalam pasaran buruh bagi mengisi kekosongan jawatan berkemahiran rendah, justeru, dapat membantu melonjakkan kapasiti operasi perniagaan dan merangsang aktiviti ekonomi di peringkat domestik," jelasnya. - DagangNews.com