Kadar pengangguran dijangka menurun 4.5% pada Disember - KSM | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran dijangka menurun 4.5% pada Disember - KSM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menjangkakan kadar pengangguran pada Disember 2020 dijangka menurun kepada 4.5% dan trend ini akan berterusan sehingga ke tahun hadapan.

 

Menterinya, M. Saravanan berkata, ini berdasarkan pemulihan pasaran buruh di Malaysia apabila kadar pengangguran menurun daripada paras tertinggi 5.3% pada Mei dengan 826,100 penganggur kepada 4.9% dengan 773,200 orang pada Jun lalu. 

 

"Kadar ini terus menurun kepada 4.7% dengan 745,100 orang pada Julai dan ia kekal pada Ogos dengan 741,600 orang. 

 

"Malah, data terkini Statistik Tenaga Buruh yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan turut menunjukkan kadar pengangguran semakin menurun kepada 4.6% pada September dengan bilangan penganggur seramai 737,500 orang," katanya.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai jumlah pekerjaan yang terjejas ekoran perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kali kedua yang bermula 14 Oktober lalu dan sejauh mana pelaksanaan PKPB memberi impak kepada industri pekerjaan dan ekonomi buruh secara menyeluruh.

 

Negara telah melalui 7 bulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran pandemik COVID-19. 

 

Sejak 10 Jun lalu, PKP Pemulihan telah membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi walaupun perniagaan tidak dapat beroperasi pada paras optimum.

 

Pada masa sama, pelbagai pakej rangsangan telah disediakan oleh kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi termasuk pasaran buruh. 

 

Saravanan berkata, data kementerian menunjukkan jumlah pemberhentian pekerja yang dilaporkan oleh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 27 November 2020 adalah seramai 99,696 orang. 

 

Beliau memberitahu, pekerja-pekerja dalam sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan amat terjejas akibat pandemik COVID-19. 

 

Katanya, bagaimanapun, seramai 120,296 orang daripada 372,934 pencari kerja pula telah berjaya mendapat pekerjaan. 

 

"Oleh itu, penambahbaikan berterusan dapat diperhatikan dalam kedudukan tenaga buruh walaupun pada tahap sederhana. 

 

"Perkara ini dicerminkan oleh pertumbuhan positif bulan ke bulan dalam guna tenaga sejak Jun 2020, serta kadar pengangguran yang menunjukkan trend penurunan," katanya. - DagangNews.com