Kadar pengangguran Ogos kekal 4.7% | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran Ogos kekal 4.7%

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Kadar pengangguran pada Ogos 2020 kekal 4.7% dengan bilangan penganggur sebanyak 741,600 orang, menurun 3,500 berbanding bulan sebelumnya, 745,100 orang. 

Menurut Jabatan Perangkaan menerusi Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia, pada Ogos 2020, bilangan tenaga buruh meningkat 76,600 orang merekodkan 15.90 juta orang berbanding Julai 2020. 

"Berikutan sektor ekonomi terus dibuka semula, Ogos 2020 menyaksikan kedudukan tenaga buruh Malaysia semakin pulih. 

"Namun begitu, melihat kepada situasi semasa di mana kes COVID-19 yang semakin meningkat, dijangka pemulihan pasaran buruh akan berhadapan dengan halangan pada bulan akan datang dan memberi kesan terhadap tenaga buruh yang berpotensi untuk memasuki pasaran buruh," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tenaga buruh di Malaysia pada Ogos 2020

 

Bagaimanapun, kadar pengangguran adalah lebih tinggi sebanyak 1.4 mata peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya pada 3.3% dengan bilangan penganggur meningkat 221,400 orang daripada 520,200 orang. 
 
Dalam hal ini, jelas laporan itu, pelbagai inisiatif kerajaan diharap dapat mengurangkan impak situasi luar jangkaan dan seterusnya mengekalkan pekerjaan. 

Bagi menyokong pemulihan ekonomi, kerajaan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan pekerja terpelihara.  
 
Antara inisiatif tersebut, PENJANA GIG memberi fokus kepada keselamatan sosial bagi pekerja GIG, Program Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) bertujuan memperkasakan dan membimbing freelancer digital ke peringkat global melalui platform digital serta program latihan semula dan peningkatan kemahiran. 

Pelbagai inisiatif dan program oleh Kerajaan akan mendorong pasaran buruh Malaysia untuk kekal stabil dan memperoleh semula momentumnya. - DagangNews.com