KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kadar pengangguran September 2020 mencatatkan penurunan kepada 4.6 peratus membabitkan 737,500 penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kadar pengangguran, bagi tahun ke tahun, pada September meningkat 1.3% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya dengan bilangan penganggur mencatatkan peningkatan 216,100.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun pandemik COVID-19 terus menjadi cabaran sukar bulan tersebut, namun kedudukan tenaga buruh Malaysia bertambah baik dengan sektor ekonomi terus berkembang.
"Tetapi, dengan melihat kepada situasi semasa dengan lonjakan kes baharu COVID-19 terutama di kawasan tertentu dalam negara yang bermula akhir September 2020, diramalkan pasaran buruh akan menghadapi lebih banyak cabaran dalam beberapa bulan akan datang," katanya.
Pada September 2020, guna tenaga terus meningkat pada kadar perlahan 0.3% kepada 15.19 juta orang.
Sementara itu, tahun ke tahun, bilangan penduduk bekerja kekal pada trend menurun mencatatkan negatif 0.2% berbanding September 2019 sebanyak 15.23 juta orang.
Bagi bulan tersebut, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.2%.
Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja naik 14,900 orang merekodkan 11.73 juta orang berbanding bulan sebelumnya.
Bekerja sendiri terus meningkat 0.7% melibatkan 2.43 juta orang berbanding bulan sebelumnya, 2.42 juta orang.
Pertumbuhan positif bagi mereka yang bekerja sendiri dapat dilihat daripada pelbagai inisiatif yang dibiaya oleh kerajaan bagi merangsang perniagaan seperti Pembiayaan PKS PENJANA untuk terus membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Geran Khas bernilai RM3,000 kepada setiap PKS mikro yang layak. - DagangNews.com