KUALA LUMPUR 8 Julai - Kadar pengangguran pada Mei menurun sedikit tetapi bilangan penganggur masih kekal melebihi 700,000 orang.
Pada bulan tersebut menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran hanya menyusut 0.1% kepada 4.5% berbanding 4.1% pada April 2021.
Bilangan penganggur pula mencecah 728,100, masih tinggi berbanding 500,000 seperti dicatatkan sebelum pandemik COVID-19 ini menjejaskan ekonomi Malaysia dan seluruh dunia.
Bagaimanapun, kadar pengangguran pada Mei adalah lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu apabila ia mencecah 5.3% dengan 826,100 orang hilang pekerjaan disebabkan wabak tersebut.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran secara dasarnya menunjukkan trend penurunan sejak Februari 2021 lagi.
"Pada awal Mei 2021, kebanyakan negeri berada dalam fasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sebelum beberapa negeri diletakkan di bawah fasa PKP bagi mengekang penularan wabak ini.
"Walaupun langkah lebih ketat dilaksanakan di negeri terbabit, semua aktiviti ekonomi termasuk perniagaan kecil dan bazar masih dibenarkan beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Mei 2021 hari ini.
Statistik itu menunjukkan penganggur aktif yang merangkumi lebih 80% daripada keseluruhan penganggur merekodkan pengurangan sebanyak 8,700 kepada 609,900 berbanding April, 618,700.
Dalam kalangan penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, 52.2% adalah mereka yang menganggur kurang daripada 3 bulan manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 10.2%.
Begitu juga, penganggur tidak aktif atau kumpulan yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia terus menurun 4.7% kepada 118,200 berbanding 124,000 pada April 2021.
Mohd. uzir berkata, ketika negara memasuki separuh kedua 2021, PKP penuh atau 'total lockdown' dilaksanakan dalam usaha melandaikan keluk jangkitan COVID-19 menyebabkan penutupan semua sektor ekonomi dan sosial di seluruh negara.
Bagaimanapun, ia tidak melibatkan sektor yang disifatkan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan penting dengan bilangan pekerja yang terhad di tempat kerja.
Katanya, dengan langkah-langkah terkini kawalan kesihatan, sektor ekonomi dijangka berdepan cabaran dalam mengekalkan momentum pemulihan mereka manakala industri berkaitan pelancongan akan terus terkesan.
"Dengan jangkitan baharu harian yang berterusan melebihi 6,000 kes menjelang akhir Jun 2021, PKP diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di beberapa lokaliti tertentu di Kuala Lumpur dan Selangor bermula 3 hingga 16 Julai.
"Oleh itu, pasaran buruh mungkin berdepan dengan situasi yang tidak menentu pada bulan-bulan berikutnya bergantung kepada kedudukan situasi pandemik," katanya. - DagangNews.com