Kadar sewa ruang pejabat UOA REIT dijangka tidak berubah - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Kadar sewa ruang pejabat UOA REIT dijangka tidak berubah - Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Malacca Securities menjangkakan kadar sewaan untuk ruang pejabat UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) kekal tidak berubah sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat.

 

Katanya, pasaran ruang pejabat kekal berdepan cabaran kerana kebanyakan syarikat ketika ini menyediakan kemudahan kepada kakitangan mereka untuk bekerja secara hibrid.

 

"UOA REIT bagaimanapun menerima banyak pertanyaan terhadap ruang pejabat mereka dengan bakal penyewa mencari yang siap sepenuhnya tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi tujuan pengubahsuaian," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras suku kedua 2024 susut 41.7% kepada 8.1 juta menjadikan untung bersih teras bagi tempoh enam bulan menyusut 29.6% kepada RM19.8 juta. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, ketiadaan penyewa utama di Menara UOA Bangsar yang setinggi lapan tingkat akan diisi oleh penyewa baharu.

 

Katanya, empat tingkat disewakan, dua tingkat sedang menunggu pengesahan, dan dua tingkat akan dibahagikan untuk menyediakan lebih banyak pilihan untuk penyewa akan datang.

 

"Kami memahami bahawa syarikat milik kerajaan (GLC) yang menyewa tiga tingkat akan keluar, menjadikan kadar penghunian keseluruhan ekitar 70% hingga 80% bagi sepanjang FY24.

 

"Dana penyelenggaraan digunakan untuk penyejuk, memberikan penjimatan elektrik dengan tempoh bayaran balik kira-kira enam tahun," katanya.

 

Malacca Securities berkata, menara itu akan menjalani beberapa pengubahsuaian pada masa hadapan, tetapi tempoh masanya tidak dapat dipastikan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 93 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com