Kaji kerugian besar Malaysia Airlines, jangan hanya bagi duit- Nufam | DagangNews Skip to main content

Kaji kerugian besar Malaysia Airlines, jangan hanya bagi duit- Nufam

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Pemantauan yang ketat terhadap pengurusan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) mesti dibuat terlebih dahulu sebelum kerajaan menyuntik sebarang dana dalam syarikat penerbangan tersebut. 

 

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menegaskan adalah tidak adil sekiranya kerajaan kerap menyuntik dana tetapi ia masih mengekalkan individu sama, yang telah menyebabkan kerugian sejak beberapa tahun lalu. 

 

"Kami tidak mahu syarikat penerbangan menyalahgunakan duit pembayar cukai apatah lagi MAB telah mengalami kerugian berbilion ringgit sebelum pandemik ini menular. 

 

"Sebelum ini, kami telah membangkitkan isu yang sama dengan kerajaan terdahulu dan kini kami meminta kerajaan hari ini melakukan perkara yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Semalam, Menteri Kewangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai sayap pelaburan kerajaan, Khazanah mempunyai sumber yang mencukupi dalam memastikan Malaysia Airlines terus bertahan.

 

Malah, Khazanah akan memastikan syarikat penerbangan itu kembali pulih daripada krisis kewangannya ketika ini dan sedang melakukan apa yang perlu sebagai pemegang saham utamanya.

 

Memetik laporan daripada Nikkei Asia, Tengku Zafrul berkata, semua pihak harus sentiasa melihat secara positif terhadap Malaysia Airlines kerana ia adalah simbol identiti nasional yang dapat dibanggakan rakyat Malaysia. 

 

Kementerian Kewangan juga telah menjalankan perbincangan bersama Khazanah dan meminta mereka untuk memastikan Malaysia Airlines terus berada dalam posisi kuat untuk menyokong pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Nufam, bagaimanapun menyambut baik usaha kerajaan itu untuk membina semula industri penerbangan dan menawarkan bantuan kepada pekerja yang terjejas. 

 

"Tetapi, kami mahu kerajaan mengkaji kerugian besar yang dialami syarikat penerbangan ini," katanya. 

 

Kesatuan itu juga berkata, terdapat keperluan untuk menerapkan syarat-syarat pemantauan yang ketat terhadap pengurusan MAB dan ia harus berdasarkan prestasi KPI mereka dan bukan hanya melibatkan pegawai berpangkat rendah itu.

 

Pada masa sama, Nufam meminta kerajaan supaya memantau langkah penstrukturan hutang yang sedang berjalan memandangkan syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Bhd. (MAG) kini dalam proses rundingan dengan pemiutang dan pemajak yang dijangka mengambil masa sebelum keputusan dapat dibuat. - DagangNews.com