KUALA LUMPUR 21 Jan - Vape mampu membantu negara mengurangkan perbelanjaan kesihatan untuk merawat penyakit berkaitan merokok sebanyak RM1.3 bilion menjelang 2025, menurut sebuah badan pemikir bukan kerajaan hari ini.
Laporan oleh Datametrics Research & Information Centre (DARE) bertajuk Clearing the Smoke: Tobacco Harm Reduction turut mendedahkan peraturan penggunaan vape serta galakan kepada perokok beralih kepada vape sebagai alternatif kurang mudarat, dapat mengurangkan populasi perokok di Malaysia kepada 4.0 juta menjelang 2025.
Menurut laporan itu, Strategi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) boleh menjadi pemacu utama dalam menguruskan tabiat merokok di Malaysia, yang masih tidak berubah selama lebih sedekad.
Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, pihaknya memperolehi data daripada model pengiraan dan kajian daripada agensi antarabangsa berkredibiliti seperti Public Health England dan Cochrane Review.
"Penemuan kami jelas menunjukkan bahawa Malaysia akan dapat mencapai hasil ketara daripada penerimaan THR dan adalah penting untuk membangunkan peraturan yang wajar untuk produk kurang memudaratkan bagi membantu negara mencapai agenda ini.
“Sebagai permulaan, DARE mengesyorkan Malaysia membezakan produk tembakau daripada produk kurang memudaratkan seperti vape yang telah terbukti secara saintifik sebagai alternatif kurang mudarat dan berkesan membantu perokok berhenti dengan bertukar kepada vape.
"Selain itu, langkah-langkah kawal selia harus diambil bagi memastikan produk kurang mudarat ini dikawal standard pembuatan, keselamatan, maklumat produk, kualiti dan tahap keberkesanan yang tinggi," katanya dalam kenyataan.
Pankaj berkata, dalam mengubal undang-undang atau peraturan, DARE mengesyorkan pendekatan risiko berkadar dengan mengawal selia sekatan mengikut kadar risiko kepada kesihatan yang disebabkan produk.
"Sebagai contoh, rokok tradisional mempunyai amaran kepada perokok, namun sebaliknya bagi produk vape pula harus mempunyai mesej mengenai manfaat peralihan dari rokok ke vape," katanya.
Beliau berkata, tinjauan persepsi pada September tahun lalu mendedahkan bahawa 80% rakyat Malaysia percaya bahawa penggunaan strategi THR di negara ini akan membantu perokok berhenti rokok tradisional kerana mereka akan dapat beralih kepada alternatif yang kurang memudaratkan.
"Majoriti besar (95%) mengatakan bahawa kerajaan mesti terlibat dalam melaksanakan strategi THR di negara ini. Penemuan laporan ini tepat pada masanya kerana Malaysia akan memperkenalkan peraturan untuk vape di Malaysia. Ini susulan pelaksanaan rangka kerja percukaian yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022," katanya.
Katanya, Malaysia harus meneruskan program sedia ada bagi mengurangkan tabiat merokok dan pada masa sama pemimpin mestilah terbuka untuk meneroka kaedah penyelesaian berasaskan sains yang telah terbukti berkesan di United Kingdom dan New Zealand.
"Kita mesti melihat kesesuaian di negara kita dan menentukan strategi terbaik yang boleh dibangunkan menjadi rangka kerja sesuai dengan keadaan negara kita. Dengan usaha bersepadu ini, kita mampu mengurangkan permintaan untuk tembakau, meminimumkan kemudaratan, mengurangkan kos kepada sistem kesihatan dan akhirnya menyelamatkan nyawa," katanya. - DagangNews.com