Kampus Sunway 42 Iskandar Puteri tawar kem pengekodan percuma kepada lepasan SPM | DagangNews Skip to main content

Kampus Sunway 42 Iskandar Puteri tawar kem pengekodan percuma kepada lepasan SPM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

 KUALA LUMPUR 24 Jan - Kampus Sunway 42 Iskandar Puteri (42IP) mempelawa semua rakyat Malaysia yang berminat mempelajari pengekodan menyertai kem pengekodan percuma selama 26 hari dengan permainan menyeronokkan di laman web mereka baru dilancarkan (42iskandarputeri.edu.my).

 

42IP memaklumkan, kem tersebut terbuka kepada golongan belia berusia 17 tahun ke atas yang tiada pengetahuan mengenai pengekodan, selain pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan untuk menyertainya.

 

Katanya, kampus itu yang terletak di Sunway Iskandar Puteri, ialah sekolah pengekodan dengan sifar yuran, tiada guru dan bilik darjah tradisional, menawarkan model pendidikan inovatif yang direka bentuk bagi membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk memulakan kerjaya dalam teknologi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek.

 

"Model unik, pendidikan bebas itu adalah sebahagian daripada kampus 42 yang pertama kali ditubuhkan di Paris, Perancis dengan yang kedua di Silicon Valley, Amerika Syarikat. 

 

"42, rangkaian pendidikan yang terkenal di peringkat global dengan persekitaran pembelajaran rakan sebaya, pendekatan berasaskan projek dan kurikulum gamified. 42KL di Sunway City Kuala Lumpur adalah yang pertama di Malaysia dan antara kampus yang pertama di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Pegawai Operasi 42 Malaysia berkata, Jeff Sandhu berkata, 42 Iskandar Puteri adalah tambahan kedua kepada rangkaian kampus di bawah 42 Malaysia.

 

Katanya, inisiatif usaha sama membina negara antara Sunway Education Group dan Khazanah Nasional Bhd menekankan komitmen kolektif untuk memajukan landskap digital Malaysia.

 

 

sunway
Jeff Sandhu

 

 

"Kami sangat teruja untuk membawa era baharu pendidikan pengekodan kepada khalayak yang lebih luas. 42 Iskandar Puteri menandakan satu peristiwa penting apabila 42 Malaysia meluaskan jangkauannya ke wilayah selatan, meningkatkan kebolehcapaian bagi pelajar untuk memulakan perjalanan pembelajaran transformatif," kata beliau. 

 

"Ia mewakili komitmen kami untuk memupuk kemahiran digital dan memperkasakan individu yang bercita-cita tinggi di seluruh Malaysia untuk meneroka dunia pengekodan dan memulakan perjalanan mereka ke arah kerjaya teknologi yang bermanfaat. 

 

"Matlamat kami adalah untuk membangunkan 10,000 bakat teknologi dalam tempoh 10 tahun akan datang, memajukan Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih celik digital," katanya.

 

 

sunway

 

 

sunway

 

 

Program 42 menawarkan peluang pendidikan yang tiada tandingan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang akademik, jantina dan status sosioekonomi. 

 

Dengan komitmen untuk menyediakan peluang yang sama kepada individu untuk mengikuti sains komputer, kemasukan ke 42 kampus adalah berasaskan merit sepenuhnya. 

 

Ia memastikan bahawa individu yang mempunyai semangat dan dedikasi untuk belajar boleh mengakses program percuma itu. - DagangNews.com