Kanger yakin segmen pembinaan kembalikan keuntungan kumpulan pada FY22 | DagangNews Skip to main content

Kanger yakin segmen pembinaan kembalikan keuntungan kumpulan pada FY22

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kanger International Berhad yang terkenal sebagai syarikat pengeluar bahan lantai buluh yakin bahawa kumpulan bakal mencatatkan semula keuntungan pada tahun kewangan 2022 (FY22), berakhir 31 Mac tahun hadapan, dipacu oleh perniagaan baharunya iaitu pembinaan.

 

Ini dicerminkan menerusi nilai projek pembinaan yang telah diraih setakat ini, kira-kira RM1 bilion.

 

Pengarah Eksekutif Kanger, Steven Kuah Choon Ching berkata, kumpulan berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan pembinaannya dengan mengambil kontrak pembinaan bangunan, kejuruteraan sivil dan pengurusan projek sebagai kontraktor utama atau sub kontraktor. 

 

“Kami juga berhasrat untuk memperoleh lesen kontraktor Gred 7 dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membolehkan kami untuk meraih projek pembinaan pada nilai berapa pun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Steven Kuah Choon Ching
Steven Kuah Choon Ching

 

Sejak setahun lalu, Kanger mendedahkan bahawa kumpulan telah melaksanakan beberapa langkah untuk membina perniagaan yang kukuh, menumpukan kepada pertumbuhan dan kemampanan.

 

Ini termasuk pengambilalihan 51% kepentingan di dalam pembekal bahan pembinaan,Sung Master Holdings Sdn Bhd yang dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan dan sinergi operasi kumpulan. 

 

Baca : Kanger dapat 'lampu hijau' pemegang saham, ambil alih 51% ekuiti Sung Master

 

Sebagai rekod, Sung Master terlibat dalam penjualan dan perdagangan bahan pembinaan di mana termasuk lantai kayu, jubin, simen pukal, konkrit, loket dan barang kebersihan.

 

Sung Master yang secara konsisten mencatatkan prestasi untung menerusi tiga tahun kewangan yang lalu dilihat bakal mendatangkan impak positif serta-merta ke atas kumpulan. 

 

Dalam pada itu, Sung Master turut mengagihkan dividen berjumlah RM25 juta bagi tempoh sama.

 

“Melangkah ke hadapan, kami yakin bahawa perniagaan pembinaan baharu ini akan menjadi pemacu pertumbuhan utama kepada perjalanan transformasi kumpulan. Kami akan secara aktif membida projek pembinaan baharu dan berhasrat untuk mengembangkan segmen pembinaan sebagai satu tiang perniagaan penting buat kumpulan.

 

“Dalam masa terdekat ini, perkembangan pembilan bagi projek pembinaan yang sedang berjalan di mana mempunyai jumlah buku pesanan kira-kira RM1 bilion dan perolehan yang disumbangkan oleh Sung Master akan memberi impak positif buat perolehan kumpulan, sekali gus meningkatkan nilai pemegang saham secara keseluruhan,” tambah beliau lanjut.

 

Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan asas modal kumpulan, Kanger turut mengumumkan cadangan terbitan hak yang boleh ditolak beserta waran pada kadar satu saham hak kepada sesaham yang sedia ada. 

 

Pada kadar RM0.06 bagi setiap terbitan saham hak, langkah itu dijangka menjana hasil kasar antara RM20.0 juta hingga RM171.7 juta. - DagangNews.com