Kapal Gowind pertama UAE belayar pulang, nasib projek LCS TLDM masih tidak menentu | DagangNews Skip to main content

Kapal Gowind pertama UAE belayar pulang, nasib projek LCS TLDM masih tidak menentu

Korvet Gowind pertama UAE, Bani Yas yang dibina di Perancis.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

KAPAL Gowind pertama Tentera Laut Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini dalam pelayaran pulang ke negara tersebut dari Lorient, Perancis yang dijangka tiba pada bulan hadapan.

 

Korvet diberi nama Bani Yas ini merupakan satu daripada dua buah kapal reka bentuk Gowind yang disiapkan firma perkapalan Naval Group, Perancis untuk UAE.

 

Kapal ini sebelumnya telah pun diserahkan secara rasmi kepada Tentera Laut UAE pada Oktober lalu.

 

UAE pada 2019 bersetuju membeli dua kapal Gowind ini yang pembinaanya dijalankan di limbungan perkapalan Lorient.

 

Kapal
Korvet Bani Yas kini dalam pelayaran pulang ke UAE.

 

Kapal pertama ini telah dilancarkan pada Disember 2021, manakala korvet kedua, Al Emarat pada 13 Mei 2022 dan akan memulakan ujian lautnya tidak lama lagi.

 

Pembinaan kapal-kapal ini juga penting pada Naval Group Perancis apabila berjaya menyiapkan tempahan pelanggan dalam masa yang diberi.

 

Ini kerana korvet Gowind merupakan sebuah kapal perang dengan rekaan yang canggih untuk memenuhi keperluan tugasan operasi tentera laut masa kini.

 

Sehingga kini, sebanyak 16 buah kapal kelas Gowind telah dipesan pelanggan dari empat negara iaitu Malaysia, Mesir, Argentina dan UAE mengikut konfigurasi masing-masing.

 

Kapal

 

Kapal
Kapal Gowind kedua, Al Emarat semasa dalam fasa pembinaan di Perancis.

 

Malaysia menjadi negara pertama apabila memutuskan untuk membina enam buah frigat berasaskan rekaan Gowind untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2011.

 

Daripada negara pengguna itu, Malaysia dan Mesir memilih untuk membina kapal di limbungan masing-masing menggunakan tenaga tempatan dengan pemindahan teknologi dari Perancis.

 

Gowind pertama Mesir, El Fateh dibina di Lorient pada 2015 yang mengambil masa tiga tahun disiapkan. 

 

Tiga kapal seterusnya dibina di Limbungan Perkapalan Alexandria, Mesir secara berperingkat-peringkat iaitu pada 2016, 2018 dan 2020.

 

Kapal
Kapal Gowind Mesir, ENS Al Moez yang dibina pada 2019.

 

Ketika ini kapal Gowind terakhir Mesir, ENS Ismalia sedang menjalani ujian pelayaran di laut.

 

Bagi program Gowind TLDM, Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah melantik Boustead Naval Shipyard (BNS) sebagai kontraktor utama.

 

Dikelaskan sebagai kapal tempur pesisir (LCS), apabila siap enam buah kapal Gowind ini akan meletakkan TLDM sebagai pemilik armada tempur paling berbisa di rantau Asia Tenggara.

 

Itu objektifnya mengapa MINDEF dan TLDM memilih rekaan Gowind manakala keputusan membina kesemua kapal dalam negara adalah untuk memacu industri pertahanan tempatan.

 

Kapal
Kapal Gowind Mesir, ENS Port Said semasa dalam pembinaan di limbungan perkapalan negara itu pada tahun 2018.
 

 

Dalam projek ini, Naval Group Perancis bertindak sebagai penasihat industri kerana ia merupakan penguasa reka bentuk LCS.

 

Program LCS dimulakan pada tahun 2014 dengan fasa mereka bentuk dilakukan oleh pihak BNS termasuklah rekaan terperinci kapal (detail design) manakala pembinaan struktur kapal setahun kemudian di Lumut, Perak.

 

Mengikut jadual, LCS pertama TLDM ini sepatutnya melaksanakan ujian laut pada tahun 2018 iaitu tidak lama selepas majlis perasmian kapal dilakukan di Lumut pada 2017.

 

LCS pertama seterusnya sedia untuk ditauliahkan ke dalam armada TLDM pada 2019.

 

Kapal
Projek LCS TLDM yang masih bergelut untuk disiapkan setelah dimulakan sembilan tahun lalu.

 

Kapal

 

Bakal memasuki tahun 2024, bermakna genap 10 tahun program LCS dimulakan tetapi kontraktor utama belum dapat menyiapkan sebuah pun kapal kepada TLDM.

 

Projek LCS yang berdepan skandal dan kelewatan bagaimana pun diberi nafas apabila kerajaan memutuskan untuk diselamatkan dan pembinaan diteruskan.

 

Pelan mobilisasi LCS oleh MINDEF memuktamadkan hanya lima buah kapal akan disiapkan berbanding enam mengikut cadangan asal.

 

Mutakhir, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati pelaksanaan pelan mobilisasi LCS ini belum mencapai tahap yang signifikan.

 

Kapal

 

Perkara paling pelik ialah reka bentuk terperinci LCS yang dikatakan telah siap sebelum kapal dibina 10 tahun lalu hanya 84 peratus sahaja telah mendapat kelulusan Naval Group Perancis.

 

Timbul persoalan mengapa Mesir yang memilih cara sama seperti Malaysia membina tiga kapal korvet Gowind dalam negara berjaya menyiapkan kesemuanya tanpa masalah besar.

 

Mesir juga dibantu oleh Naval Group Perancis dengan menggunakan segala kemahiran tempatan untuk mendapatkan pemindahan teknologi.

 

Sejauhmana janji kontraktor utama dan kerajaan untuk kesemua lima kapal LCS dapat disiapkan pada tahun 2029, hanya masa yang bakal menentukan.

- DagangNews.com