Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail dilantik menjadi ahli Lembaga Tadbir Urus (BoG) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
MAG berkata, pelantikan untuk tempoh tiga penggal sehingga 2024 itu diumumkan semasa mesyuarat agung tahunan IATA ke-77 di Boston, Amerika Syarikat.
Katanyam sebagai ahli BoG, Izham akan turut serta dalam memberikan arahan dan panduan dasar kepada jawatankuasa industri IATA dan badan-badan subsidiarinya
Sementara itu mengulas mengenai pelantikannya, Izham berkata beliau tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan semua ahli BoG IATA untuk meningkatkan jalan menuju pemulihan selain mendorong pertumbuhan dan perkembangan industri penerbangan di seluruh dunia.
"Syarikat penerbangan di seluruh dunia masih belum terlepas dari kesan wabak COVID-19, dan mengalami kerugian besar yang dijangka berterusan hingga 2022.
"Saya tidak sabar untuk bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan semula industri ini," katanya.
Izham juga terlibat secara aktif dalam badan-badan lain yang berkaitan dengan industri seperti Lembaga Tadbir Urus Alliance One World, jawatankuasa eksekutif Persatuan Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) dan Lembaga Pengarah Tourism Malaysia.
IATA mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan di 120 negara, yang merangkumi 82 peratus lalu lintas udara global dan memainkan peranan penting dalam membantu merumuskan dasar global mengenai isu-isu berkaitan penerbangan yang kritikal. -DagangNews.com