BERA 8 Nov - Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera yang akan berlangsung di Dewan Konvensyen di sini pada 12 November 2022 menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM25,000 menerusi acara 'Santai E-Games'.
Miat Quadra E-Sport Club dalam satu kenyataan berkata, acara berkenaan bertujuan untuk mencungkil dan menyerlahkan bakat-bakat hebat anak muda e-sukan di Parlimen tersebut.
Menurutnya, acara julung kali dianjurkan itu turut menawarkan hadiah cabutan bertuah sehingga RM3,000 serta berpeluang memenangi telefon pintar.
"E-sukan di Malaysia kini bukan lagi sekadar hobi, malah menjadi kerjaya sukan sehingga melahirkan ramai pemain muda yang berjaya di peringkat antarabangsa.
"Karnival ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta bakal menghimpunkan lebih 2,000 anak muda dari Parlimen Bera dan kawasan sekitarnya," katanya.
Menurutnya, karnival tersebut merupakan anjuran kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Manusia Berhad (HRDCorp).
"Karnival ini akan menampilkan acara e-sukan, JaminKerja dan konsert Keluarga Malaysia," katanya.
Katanya, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang turut disediakan bagi semua pengunjung yang hadir ke karnival, termasuk ujian pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan motosikal, trak makanan dan gerai-gerai jualan. - DagangNews.com