Kawan Renergy raih untung bersih RM4.2 juta pada 1QFY24, pendapatan hampir RM20 juta | DagangNews Skip to main content

Kawan Renergy raih untung bersih RM4.2 juta pada 1QFY24, pendapatan hampir RM20 juta

Kawan Renergy bakal disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia 29 Mei 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kawan Renergy Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM4.2 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Januari 2024 (1QFY2024).

 

Penyedia rumusan kejuruteraan itu berkata, pendapatan dalam suku tahunan itu adalahh sebanyak RM19.95 juta manakala leuntungan bersih setiap saham adalah 0.41 sen.

 

Ini adalah laporan kewangan interim pertama yang diumumkan oleh Kawan Renergy selaras dengan Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.

 

Tiada angka perbandingan bagi suku sebelumnya dan tempoh-tarikh konsisten yang tersedia, kerana tiada laporan kewangan interim yang disediakan untuk tempoh kewangan perbandingan tersebut.

 

Kawan Renergy bakal disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia pada 29 Mei 2024.

 

Menurut Kawan Renergy, pendapatan bagi suku tersebut utamanya disumbangkan oleh peralatan proses industri, yang menyumbang sebanyak RM11.3 juta, mewakili 56.8% daripada pendapatan keseluruhan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPO Kawan Renergy terlebih langganan 94.99 kali

 

Berkenaan dengan prospeknya, syarikat tersebut berkata ia bercadang untuk membina sebuah loji janakuasa biojisim dua megawatt (M) baru untuk memperluaskan segmen perniagaan penjanaan kuasa dan jualan elektriknya, dan mewujudkan asas pendapatan yang lebih berterusan.

 

Selain itu, kumpulan tersebut berkata ia bercadang untuk meningkatkan hasil loji janakuasa biogasnya dengan memasang sistem penghadaman anaerobik, yang akan menukarkan sisa pertanian menjadi biogas untuk penghasilan elektrik.

 

“Selain itu, kumpulan merancang untuk menaik taraf proses pengeluarannya dengan membeli lebih banyak jentera dan peralatan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran.

 

“Ini bertujuan untuk mengurangkan tenaga kerja, mencapai ketepatan yang lebih tinggi, dan mengurangkan pembaziran.

 

“Selain itu, industri biogas di Malaysia dijangka terus berkembang, dengan sokongan daripada pertumbuhan ekonomi negara, yang akan mendorong permintaan tenaga elektrik yang lebih tinggi,” katanya.

 

Pengarah Urusan Kawan Renergy, Ir. Lim Thou Lai berkata, prestasi kewangan  untuk suku pertama tahun kewangan 2024 adalah baik walaupun dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

 

"Ini menegaskan kekuatan bisnes kami dan meletakkan kami dengan baik untuk penyenaraian akan datang kami di Pasaran ACE Bursa Saham.”.- DagangNews.com