Kawasan PKPB dan PKPD tidak dibenar balik kampung pada Hari Deepavali | DagangNews Skip to main content

Kawasan PKPB dan PKPD tidak dibenar balik kampung pada Hari Deepavali

Deepavali

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pergerakan merentas kawasan seperti mukim, daerah, dan negeri adalah tidak dibenarkan semasa sambutan Hari Deepavali pada 14 November ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arah tersebut melibatkan pergerakan dari kawasan yang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi tujuan pulang ke kampung.

Bagaimanapun, kelonggaran lain seperti upacara sembahyang diberikan mengikut syarat tertentu.

"Kerajaan bersetuju untuk membenarkan penganut hindu mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama sahaja di kawasan yang dilaksanakan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dan PKPB dengan SOP (prosedur operasi standard) ketat yang telah ditetapkan.

"Pergerakan merentas mukim, daerah dan negeri dari kawasan PKPB dan PKPD bagi tujuan balik kampung adalah tidak dibenarkan," jelasnya dalam sidang media harian yang dijalankan hari ini.

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

 

Berikut merupakan SOP bersempena dengan sambutan Deepavali di kawasan PKPP dan PKPB;

 

1)Rumah Ibadat (Kuil)

  • Menyediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan dan saringan gejala berkaitan COVID-19 seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
  • Kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkodkan di dalam buku kehadiran.
  • Penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak digalakkan hadir.
  • Upacara sembahyang hendaklah mematuhi SOP Pembukaan Rumah Ibadat yang telah dikeluarkan dan tidak melebihi 30 orang pada satu masa tertakluk kepada keluasan ruang Rumah Ibadat (Kuil) dengan penjarakan fizikal.
  • Sesi upacara sembahyang perlu diadakan bermula jam 7.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari dengan pembahagian sebanyak 5 sesi sahaja (30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 30 minit sebelum memulakan sesi baharu.
  • Manisan perlu diagihkan secara berbungkus (packing) kepada para penganut dan terus bersurai selepas selesai upacara sembahyang.

 

2)Rumah kediaman

  • Bagi sambutan perayaan di Rumah Kediaman Landed dalam kalangan keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa.
  • Manakala bagi Rumah Kediaman Strata dengan keluasan kurang daripada 1500kps (tidak melebihi 10 orang) dan bagi keluasan melebihi 2500kps (tidak melebihi 15 orang) pada satu-satu masa.
  • Ahli Keluarga / Individu DIGALAKKAN memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri. (pensanitasi tangan/sabun pencuci tangan).

 

PKPB
 

 

Berikut pula merupakan SOP bersempena dengan sambutan Deepavali di kawasan PKPD;


1) Rumah Ibadat (Kuil)

  • Upacara sembahyang di rumah ibadat (kuil) adalah tidak dibenarkan.


 

2) Rumah kediaman 

  • Sambutan perayaan dibenarkan bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja dengan memastikan penjarakan fizikal, kebersihan diri dan mengelakkan 3S iaitu Sesak, Sempit dan Sembang Dekat
  • Melaksanakan sanitasi secara berkala terutamanya di meja makan dan permukaan yang terdedah kepada banyak sentuhan.
  • Aktiviti ziarah dikawasan PKPD adalah tidak dibenarkan.


 

3) Aktiviti Jualan/Perniagaan 

  • Aktiviti jualan/perniagaan di kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan. - DagangNews.com