KDN pandang serius kilang tipu maklumat untuk beroperasi ketika 'lockdown' | DagangNews Skip to main content

KDN pandang serius kilang tipu maklumat untuk beroperasi ketika 'lockdown'

 Hamzah Zainudin ketika membuat pemantauan pematuhan SOP di beberapa buah kilang di Lembah Klang bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan semalam.

Hamzah Zainudin ketika membuat pemantauan pematuhan SOP di beberapa buah kilang di Lembah Klang bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan semalam.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab majikan atau kilang yang memberikan maklumat tidak benar untuk memperolehi kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP ‘lockdown’ dan mengabaikan pematuhan SOP.

 

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, agensi penguatkuasaan di bawah kementeriannya bersama jabatan yang lain juga telah memeriksa 48,770 kilang dan premis perniagaan di seluruh negara yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh berkenaan.

 

Pemeriksaan yang dibuat bermula 14 Jun itu dibuat bagi memastikan pematuhan SOP oleh pemilik kilang dan premis perniagaan yang terlibat.

 

"Daripada jumlah tersebut, sejumlah 7,387 kilang dan 41,383 premis perniagaan telah diperiksa.

 

"Sebanyak 21 tangkapan dibuat, dan 201 kompaun telah dikeluarkan terhadap kilang atau premis perniagaan yang didapati melanggar SOP.

 

"Selain itu, sebanyak 63 kilang dan premis perniagaan telah diarahkan untuk ditutup," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas berkaitan vaksinasi petugas barisan hadapan agensi di bawah KDN, beliau memberitahu, hampir 85% atau 150,934 orang petugas barisan hadapan KDN telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sehingga 16 Jun 2021.

 

Sementara itu, 75% atau 133,781 orang daripada petugas barisan hadapan di bawah KDN telah melengkapkan suntikan dos kedua.

 

"KDN juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) untuk pemberian vaksin kepada petugaspetugas kaunter perkhidmatan di KDN dan agensi-agensi di bawah kementerian yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual ditetapkan oleh Pasukan Imunisasi COVID-19 (CITF).

 

"Kelulusan yang diterima oleh JKJAV ini bakal memastikan petugas dan pegawai KDN dapat terus melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat," tambah beliau lagi. - DagangNews.com