Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Ekonomi Malaysia menguncup pada kadar 3.4% bagi suku keempat 2020 menjadikan keseluruhan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu pada -5.6%.
Pertumbuhan itu adalah terendah sejak 1998 yang merekodkan penguncupan 7.4% bagi KDNK.
Malah, penguncupan ekonomi bagi tahun ini juga lebih rendah berbanding unjuran yang dibuat Kementerian Kewangan, antara 3.5 hingga 5.5%.
Malaysia mencatat pertumbuhan negatif bagi 2 suku berturut-turut sebelum ini iaitu -17.1% bagi suku kedua diikuti -2.7% bagi suku ketiga. Bagi suku pertama, ekonomi Malaysia tumbuh 0.7%.
Pada 2019, KDNK Malaysia berkembang pada 4.3%.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, Malaysia mencatat pertumbuhan negatif pada suku keempat disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri sejak pertengahan Oktober lalu.
Jelasnya, sekatan pergerakan, terutama membabitkan perjalanan antara daerah dan antara negeri, menjejaskan kegiatan ekonomi pada suku berkenaan.
"Bagaimanapun, permintaan luaran yang terus bertambah baik telah menyokong pertumbuhan.
"Kesannya, kesemua sektor ekonomi kecuali perkilangan terus mencatatkan pertumbuhan negatif," katanya dalam sidang akhbar secara maya bagi prestasi ekonomi suku keempat 2020 hari ini.
Dari segi perbelanjaan, aktiviti penggunaan swasta dan pelaburan awam yang sederhana menjejaskan permintaan dalam negeri.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 0.3% berbanding 18.2% pada suku ketiga 2020.
Pada suku tersebut, inflasi keseluruhan menurun kepada -1.5% mencerminkan sebahagiannya penurunan harga bahan api runcit yang lebih besar berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Inflasi teras menjadi sederhana sedikit kepada 0.8% disebabkan inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan komunikasi dan sewa.
Dalam tempoh itu juga, pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus berkembang pada asas tahunan sebanyak 4.4%.
Jumlah pinjaman terkumpul meningkat 3.7% berbanding 4.7% sejak suku ketiga 2020 disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam segmen isi rumah dan perniagaan.
Bagi jumlah pengeluaran pinjaman untuk sektor perniagaan dan isi rumah pula, meningkat pada suku tersebut.
Pertumbuhan pembayaran balik pinjaman perniagaan juga lebih tinggi, iaitu mengatasi pengeluaran pinjaman.
Permintaan terhadap pinjaman terus menggalakkan terutama dalam segmen isi rumah.
Menurut Nor Shamsiah, walaupun pertumbuhan jangka pendek pada 2021 akan dipengaruhi oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat, namun kesannya tidak seteruk yang dialami tahun lalu.
Malah, katanya, trajektori pertumbuhan diunjurkan bertambah baik dari suku kedua dan seterusnya.
Peningkatan ini akan didorong oleh pemulihan permintaan global, apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan global 2021 sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 5.5%.
"Pertumbuhan ini juga akan disokong oleh perubahan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar termasuk Penjana, Kita Prihatin, Belanjawan 2021 dan Permai serta pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan dan perlombongan sedia ada dan baharu.
"Pemberian vaksin yang akan bermula pada bulan ini juga diharapkan dapat meningkatkan sentimen," katanya.
Beliau berkata, sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan adalah -1.2% pada 2020 disebabkan terutamanya oleh harga minyak dunia yang ketara lebih rendah.
Bagi tahun ini, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi, terutamanya disebabkan kenaikan harga minyak dunia.
"Inflasi asas dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
"Bagaimanapun, prospek pertumbuhan ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi," jelas beliau. - DagangNews.com