KDNK 2022, catat pertumbuhan tertinggi sejak 2000 - AmInvestment  | DagangNews Skip to main content

KDNK 2022, catat pertumbuhan tertinggi sejak 2000 - AmInvestment 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - Ekonomi Malaysia yang berkembang 8.7% pada 2022 mencatat pertumbuhan tertinggi sejak 2000, demikian menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Prestasi kukuh sedemikian disokong oleh pembukaan semula ekonomi sepenuhnya, kesan berlarutan sokongan dasar fiskal pandemik dan perdagangan luar yang teguh pada awal tahun.

 

Pada 2022, penggunaan swasta dan eksport masing-masing merekodkan pertumbuhan sebanyak 11.3% dan 12.8%.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan tahun ini dijangka disokong faktor domestik terutamanya pasaran buruh yang semakin bertambah baik dan tekanan inflasi semakin stabil. 

 

Secara keseluruhan, ia menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 berada pada 4.5% didorong unjuran pertumbuhan 6.1% untuk penggunaan swasta.

 

"Kami juga mengekalkan ramalan ringgit berbanding dolar AS pada RM4.20 hingga 4.30. Dari segi kadar dasar semalaman (OPR), kami masih melihat satu lagi kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas  kepada 3%.

 

"Namun, sebarang perubahan kepada ramalan ringgit dan OPR kami bergantung kepada perkembangan naratif Rizab Persekutuan AS pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam sidang akhbarnya ketika membentangkan prestasi ekonomi pada suku keempat 2022 pagi ini, menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdepan kemelesetan ekonomi tahun ini.

 

Malah, pertumbuhan pada 2023 akan dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pertumbuhan perlahan ekonomi global.

 

Pada suku berkenaan, ekonomi Malaysia berkembang lebih perlahan sebanyak 7% menjadikan keseluruhan pertumbuhan 2022 pada 8.7%. - DagangNews.com