KDNK sebenar ekonomi G-20 berkembang 5.3% tahun ini - Moody's | DagangNews Skip to main content

KDNK sebenar ekonomi G-20 berkembang 5.3% tahun ini - Moody's

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Moody's Investors Service mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar ekonomi G-20 meningkat 5.3% secara kolektif pada 2021, dengan 2 ekonomi terbesar di dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China, masing-masing berkembang pada 4.7% dan 7.5%.

 

Memetik laporan terkini Moody’s, Pegawai  Kredit dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Clara Lau berkata, trend kredit korporat yang stabil di Asia Pasifik turut disokong oleh dasar fiskal dan monetari yang menyokong berterusan keseluruhan ekonomi maju yang besar pada 2021.

 

Langkah-langkah ini membantu menyediakan mudah tunai pasaran yang stabil, sekali gus membolehkan akses dana untuk syarikat.

 

“Namun, rentak  pemulihan ekonomi mungkin tidak sekata untuk negara-negara ini, bergantung sepenuhnya kepada pengurusan pandemik masing-masing,” kata beliau dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

 

Semakin cepat negara memvaksinasi penduduknya dan membendung penularan serta mampu mengelakkan sebarang sekatan pergerakan, semakin cepat aktiviti ekonomi akan pulih.

 

Lau berkata, kebimbangan terhadap virus dan mutasinya menimbulkan ketidakpastian dari segi mengekalkan pemulihan ekonomi yang berterusan.

 

Permintaan akan terus lemah sekiranya tempoh pemulihan berlanjutan dan ini akan meningkatkan risiko kegagalan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana, sementara sokongan fiskal yang belum pernah terjadi sebelumnya untuk mendorong pertumbuhan ekonomi boleh mencetuskan tekanan inflasi.

 

“Trend kredit Asia Pasik akan terus stabil tahun ini, disokong oleh pemulihan ekonomi China yang kukuh.

 

"Pada akhir suku pertama 2021, penguasaan penarafan dengan prospek stabil dalam portfolio korporat Asia Pasifik meningkat kepada 78% daripada 72% pada suku sebelumnya dan ia merupakan paras tertinggi sejak akhir 2019,” katanya. 

 

Selain itu, Lau berkata, permintaan perkhidmatan juga telah kembali pulih secara beransur-ansur dengan program vaksinasi telah membantu mengekang pandemik dengan lebih baik yang membolehkan pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial dikuatkuasakan secara berperingkat.

 

"Bagaimanapun, pemulihan untuk sektor berintesif kontak/hubungan seperti perjalanan, perhotelan dan permainan kekal lesu tahun ini berikutan penguatkuasaan sekatan pergerakan,” jelas beliau. - DagangNews.com