KUALA LUMPUR 22 Feb. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) ingin memaklumkan bahawa kebakaran di KM3.2 Jambatan Pulau Pinang petang ini adalah melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bkt. Tengah ke Bayan Mutiara.
Kebakaran dikesan berlaku sekitar jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan, kata Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir Husaini Husin.
Menurutnya TNB bekerjasama rapat dengan pihak PDRM, BOMBA serta PLUS bagi mengawal kebakaran bagi membolehkan aliran trafik di jambatan itu kembali lancar. “Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat kejadian ini.
Tambahnya bekalan elektrik TNB kepada semua pengguna di Pulau Pinang masih stabil dan proses baikpulih kerosakan kabel yang terjejas akan dijalankan dengan segera.
Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian TNB CareLine 15454 sekiranya terdapat sebarang kejanggalan kepada pepasangan TNB. - DagangNews.com