Kebenaran ke luar negara pemacu pemulihan Dialog - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Kebenaran ke luar negara pemacu pemulihan Dialog - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Perniagaan Dialog Group Berhad dijangka bertambah baik dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, dipacu oleh kebenaran untuk rakyat Malaysia ke luar negara tanpa memohon MyTravelPass selain kadar harga minyak mentah Brent yang tinggi. 

 

Sebelum ini, disebabkan oleh sempadan negara ditutup ekoran pandemik COVID-19, Dialog tidak berpeluang untuk melanjutkan pembangunan strategik jangka panjangnya untuk mendapatkan pelanggan berpotensi yang baharu bagi memeterai perjanjian pajakan di Terminal Air Dalam Pengerang (PDT). 

 

Menurut penganalisis di CGS-CIMB Research, Raymond Yap, saham Dialog menyaksikan penjualan besar-besaran dalam tempoh empat hingga lima bulan lalu sehingga menyusut 38% daripada paras tertinggi RM3.94 pada 29 Mei 2021. 

 

Kata beliau, pelabur asing merupakan penjual saham Dialog utama ekoran cabaran sekatan sempadan negara yang dihadapi oleh kumpulan. 

 

“Kami percaya keadaan akan kelihatan lebih baik bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang. Harga minyak mentah Brent telah mencecah AS$82 setong, lebih tinggi daripada purata 2018 iaitu AS$72 setong dan purata 2019 sebanyak AS$64 setong. 

 

“Perdana Menteri juga baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia akan dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon MyTravelPass apabila kadar vaksinasi dewasa mencecah 90% atau lebih tinggi, di mana kami menjangkakan dapat dicapai pada bulan ini. 

 

“Kami mengunjurkan ini akan memudahkan proses staf Dialog untuk ke luar negara bagi kerja penyelenggaraan loji atau tujuan pembangunan perniagaan, namun sudah tentu bergantung kepada sama ada negara luar menerima pelancong dari Malaysia, tetapi prospek kelihatan cerah melihatkan kadar vaksinasi negara yang tinggi dan kes COVID-19 kian menurun,” kata Yap dalam satu nota penyelidikan.

 

Beliau percaya, apabila Malaysia membenarkan kemasukan pelancong asing ke dalam negara yang diunjurkan berlaku pada tahun 2022, PDT bakal meraih lebih banyak pemeteraian pelanggan asing untuk tempoh jangka masa panjang.

 

Harga minyak yang lebih rendah ditambah sekatan sempadan negara yang panjang telah menjejaskan prestasi kewangan Dialog di dua aset kawasan minyak kumpulan. 

 

Ini sekali gus menyaksikan keuntungan bersih utamanya pada tahun kewangan 2021 (FY21) merosot hampir RM100 juta kepada RM506 juta daripada RM603 juta yang dicatatkan bagi tahun kewangan sebelumnya.

 

Mengambil kira prospek yang lebih cerah buat Dialog, kata Yap, harga sasaran (TP) kumpulan dikekalkan pada kadar RM3.69 sesaham dengan saranan ‘tambah’ tidak berubah. - DagangNews.com