Kecerdasan Buatan: Inovasi disruptif berguna dalam sektor pendidikan ke arah pembentukan Malaysia MADANI | DagangNews Skip to main content

Kecerdasan Buatan: Inovasi disruptif berguna dalam sektor pendidikan ke arah pembentukan Malaysia MADANI

Oleh FAKRULNIZAM JAFRI

ISTILAH kecerdasan buatan yang lebih dikenali umum sebagai Artificial Intelligence (AI) merupakan gabungan algoritma yang diprogramkan agar mesin dapat menjalankan sesuatu pekerjaan yang sehingga kini dilakukan oleh manusia, seperti belajar daripada perancangan sehingga peringkat menganalisis data.

 

Pembelajaran mesin adalah merupakan satu disiplin dalam bidang kecerdasan buatan yang mana komputer boleh bertindak mempelajari sendiri dan menjalankan tugas secara autonomi.

 

Teknologi disruptif pula merujuk kepada inovasi atau teknologi yang secara asasnya mengubah cara industri atau pasaran beroperasi, selalunya menggantikan syarikat yang telah sedia ada melalui kaedah tradisional.

 

Fakrulnizam Bin Jafri
            Fakrulnizam Jafri

 

Teknologi ini lazimnya memperkenalkan cara baharu dalam melaksanakan sesuatu perkara, mencipta model perniagaan baharu serta memiliki potensi untuk memberi kesan ketara kepada sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat.

 

Profesor dan perunding perniagaan Harvard Business School, Clayton M. Christensen yang mempelopori pengistilahan disruptive technology atau inovasi yang mengganggu dalam Majalah Harvard Business Review (1995) lebih 25 tahun dahulu yang melibatkan industri permotoran di Amerika Syarikat.

 

Christensen berpendapat bahawa sesuatu teknologi yang mengakibatkan perubahan yang relevan dan secara drastik merubah cara pengguna, syarikat dan industri, bekerja merupakan satu bentuk inovasi yang mengganggu.

 

Proses ini memerlukan tempoh bertenang dan penyesuaian seperti apa yang pernah dialami oleh masyarakat dunia melalui Revolusi Perindustrian Keempat yang dimulai dengan kepesatan kemajuan teknologi serta kemunculan teknologi digital yang menggantikan analog.

 

Contoh yang terbaik dalam memahami konsep teknologi disruptif ialah penciptaan komputer peribadi kerana kemajuan teknologi dalam bidang pengkomputeran ini menunjukkan unsur-unsur gangguan yang jelas.

 

parafrasa

 

Jika kita mengimbas kembali, kita melihat komputer mengubah sepenuhnya cara kita belajar, bekerja dan menghabiskan masa lapang.

 

Permintaan komputer oleh institusi pendidikan rendah, menengah dan tinggi serta isi rumah telah meningkat secara drastik dan kesannya, penggunaan mesin taip mula ditinggalkan sekali gus menghasilkan perubahan ketara dalam industri pengkomputeran.

 

Perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan yang kini tersedia untuk pelajar dan warga pendidik yang pastinya akan merubah landskap pendidikan bilik darjah di institusi pendidikan negara.

 

ChatGPT atau Chat Generative Pre-trained Transformer telah dilancarkan pada bulan November 2022 lalu merupakan aplikasi bahasa yang didorong oleh kecerdasan buatan yang membolehkan pengguna melakukan interaksi perbualan seperti manusia dan banyak lagi dengan chatbot.

 

Konsep ini dicipta oleh OpenAI, sebuah syarikat kecerdasan buatan Amerika dan makmal penyelidikan yang berpangkalan di San Francisco.

 

parafrasa

 

Aplikasi ini boleh menjawab soalan serta membantu dengan tugas seperti mengarang esei dan mencipta kod komputer. Penggunaan pada masa kini adalah percuma kerana ia dalam fasa penyelidikan dan pengumpulan maklum balas.

 

Akan tetapi jelas, kesan serta kejatuhan ChatGPT baru sahaja dirasai sebelum melangkah setahun pengenalannya.

 

Terlintas di fikiran penulis yang berpengalaman menggunakan aplikasi ini amat teruja menerima maklum balas spontan melalui kecerdasan buatan menjadikannya mesin perbualan berkelajuan penuh.

 

Sememang diakui idea asas perlu dijana oleh pengguna lalu AI bergerak pantas mencurahkan ideanya pula namun pengguna perlu berhati-hati dengan sumber yang diketengahkan.

 

Ada maklumat yang tepat, manakala ada yang tersasar jauh memerlukan tindakan pembetulan pantas agar sumber hasil pembacaan, penulisan, penyelidikan adalah benar dan tepat.

 

Setiap pengguna yang bijak perlu mengamalkan konsep tabayyun atau menyelidik  kesahihan sumber yang diperolehi tanpa menerimanya secara bulat-bulat.

 

Pelbagai semakan melalui pelbagai sumber yang sahih dan berautoriti perlu dilaksanakan agar menjadi pengguna, pelajar, penyelidik dan pengkaji yang berilmu pengetahuan tinggi, berintegriti, beramanah dan berdisiplin.

 

parafrasa

 

Kecerdasan buatan melalui ChatGPT ini telah mengilhamkan gelombang aplikasi kreatif merentasi pelbagai disiplin sehingga menjadi perdebatan hangat berkenaan isu etika, privasi, hak cipta, keselamatan data dan kesahihan maklumat disediakan dalam kalangan ahli pelbagai bidang disiplin ilmu dan tidak terkecuali ahli akademik.

 

Salah satu kebimbangan semasa ialah kemunculan ChatGPT bakal mengubah landskap pembelajaran sekolah dan institusi pengajian tinggi.

 

Sesetengah pendidik menggunakan ChatGPT untuk membantu menjana idea untuk dikembangkan dalam perancangan pengajaran dan aktiviti kelas atau memasukkan penulisan pelajar mereka untuk mendapatkan maklumat tambahan bagi proses cadangan dan penambah baikkan.

 

Teknologi ChatGPT merupakan salah sebuah teknologi yang dibangunkan untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam sektor pendidikan sekiranya diberikan peluang dan ruang untuk semua pengguna berilmu dan memahami sesuatu kewujudan yang belum mencapai satu tahun keberadaannya.

 

Akhirnya penulis berpendapat supaya teknologi disruptif ini diterima dengan berlapang dada oleh semua pengguna dengan harapan dan tujuan yang murni dan positif dalam mewujudkan pendemokrasian sumber maklumat ke arah pembentukan masyarakat Malaysia MADANI. - DagangNews.com

 

 

Fakrulnizam Bin Jafri adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau