Gambar www.ncer.com.my
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 April - Kedah Rubber City (KRC), salah satu projek nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik 2021-2025 (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), berjaya menarik komitmen pelaburan lebih RM2.2 bilion.
Meskipun seluruh dunia dibelenggu kelembapan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu, KRC yang terletak di daerah Padang Terap berjaya menarik minat pelabur untuk sektor produk berasaskan lateks, pengeluaran bahan mentah, pembuatan, penyimpanan dan gudang, serta logistik.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KRC merupakan destinasi menarik untuk sektor Peralatan Perubatan terutamanya pengeluar sarung tangan perubatan yang berminat untuk memperluaskan operasi syarikat.
“Saya gembira melihat prestasi ditunjukkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di mana pelaburan yang diluluskan sebanyak RM6.8 bilion setakat suku pertama 2021 telah melebihi sasaran pelaburan yang diluluskan untuk Kedah tahun ini lebih daripada 20%,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Menurut beliau, faktor seperti bahan mentah yang boleh diperolehi dengan mudah di KRC serta potensi perdagangan sempadan dengan Thailand merupakan tarikan tambahan bagi pemain industri getah untuk melabur di KRC.
“Dengan kemasukan pelaburan ke KRC ini, lebih daripada 4,500 pekerjaan akan diwujudkan bagi penduduk tempatan di Kedah.
“Hal ini secara tidak langsung akan memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi di Kedah,” tambah Muhammad Sanusi.
Selaras dengan lokasinya yang strategik dalam “Rubber Belt” di sempadan Malaysia-Thailand, KRC akan membangunkan ekosistem yang lengkap dalam industri getah negara untuk memberi pelabur potensi pasaran yang lebih luas di bawah Pertumbuhan Segi Tiga IndonesiaMalaysia-Thailand (IMT-GT).
Dalam pada itu, NCIA juga turut memupuk kerjasama rapat dengan negara-negara jiran melalui platform IMTGT untuk menyokong dan menerima produk yang dihasilkan di KRC.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, dengan keluasan hampir 1,250 ekar, KRC mempunyai infrastruktur yang bertaraf dunia untuk pemain industri getah bernilai tinggi, dan Fasa Satu seluas 504 ekar kini sudah siap untuk pelabur berpindah masuk.
“Dihubungkan dengan rantaian nilai industri getah Malaysia, KRC adalah taman perindustrian getah khusus pertama di negara ini yang akan mempercepatkan pembangunan industri getah Malaysia untuk menjadi hab pembuatan getah bernilai tinggi serantau di ASEAN,” ujarnya.
Dengan kemudahan fasiliti ujian bertaraf dunia, pembangunan ekosistem bakat bersepadu bagi mencapai keperluan teknikal Industri 4.0, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam inovasi teknologi dan pengeluaran getah khususnya, KRC akan mengembalikan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri getah.
Dalam masa yang sama, pelabur akan mendapat akses ke bekalan bahan mentah utama bagi menghasilkan produk getah melalui pembinaan ladang tangki simpanan di Pelabuhan Pulau Pinang.
Pelabur-pelabur yang komited untuk melabur di KRC dijangka akan memulakan kerja-kerja pembinaan kilang pada sekitar suku keempat 2021.
Manakala operasi kilang pula dijangka akan bermula pada separuh kedua 2023. - DagangNews.com