Kedah, Selangor tertinggi kes tertunggak pembahagian harta pusaka | DagangNews Skip to main content

Kedah, Selangor tertinggi kes tertunggak pembahagian harta pusaka

Pejabat Unit Pembahagian Pusaka Cawangan Terengganu Selatan. Unit ini adalah di bawah Jabatan Pengarah Tanah dan Galian. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kedah dan Selangor merupakan dua negeri mencatat paling tinggi daripada sejumlah 72,348 kes pembahagian harta pusaka tertunggak di negara ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

 

Berdasarkan rekod sehingga 31 Disember 2021, Kedah mencatat 13,423 kes dan Selangor pula 10,358 kes tertunggak.

 

''Sebanyak 43,519 kes pembahagian harta pusaka dengan nilai keseluruhan RM11.2 bilion telah diselesaikan, dengan nilai kutipan fi RM14.5 juta sebagai pendapatan Kerajaan Persekutuan,'' katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

 

Takiyuddin berkata dalam usaha menyelesaikan kes tertungggak itu, pelbagai langkah segera telah diambil kerajaan.

 

Antaranya menggerakkan Pasukan Petugas Khas di bawah waran perjawatan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk membantu perbicaraan kes pusaka dengan kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri.

 

“Selain itu, mewujudkan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka juga telah dimulakan di Negeri Kedah pada 14 Februari 2022.

 

“Seterusnya mengemukakan permohonan khusus kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi permohonan lantikan kakitangan secara kontrak,'' kata beliau.


 

Takiyuddin Hassan
                                                Takiyuddin Hassan

 


Sebelum itu beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai), yang meminta penjelasan dasar kerajaan bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dalam proses pembahagian harta pusaka, berikutan terdapat pelbagai agensi yang dipertanggungjawabkan menyelesaikan pembahagian harta pusaka.

 

Dalam soal tersebut, Takiyuddin menegaskan tidak timbul isu kekeliruan bidang kuasa agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan proses pembahagian harta pusaka, 

 

Menurut beliau, setiap agensi mempunyai bidang kuasa tersendiri termasuk dalam menguruskan pembahagian harta pusaka orang Islam dan agama lain.

 

“Sebagai contoh Mahkamah Tinggi bahagian sivil, setelah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 dikuatkuasakan nanti, bidang kuasa mahkamah ini dinaikkan untuk (selesaikan) nilai harta pusaka lebih RM5 juta, melibatkan kes wasiat dan sebagainya untuk bukan Islam.

 

“Sementara JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan) bagi harta tidak lebih nilai RM5 juta untuk harta tak alih dan harta alih, manakala ARB (Amanah Raya Berhad) untuk nilai harta kurang RM600,000,” katanya. - DagangNews.com

 

 

Pejabat Unit Pembahagian Pusaka Cawangan Terengganu Selatan. Unit ini adalah di bawah Jabatan Pengarah Tanah dan Galian. - Gambar hiasan