Kedah tumpu isu gagal diselesaikan kerajaan terdahulu berbanding perkenal projek baharu | DagangNews Skip to main content

Kedah tumpu isu gagal diselesaikan kerajaan terdahulu berbanding perkenal projek baharu

Oleh EMIR MUKMIN
editor@dagangnews.com
 

ALOR SETAR 1 Sept. - Penyelesaian isu yang tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan terdahulu menjadi tumpuan kerajaan negeri sedia ada dalam usaha memantapkan pembangunan ekonomi selain menarik kedatangan lebih ramai pelabur ke Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara perkara yang diberi perhatian adalah isu berkaitan tanah selain penyediaan infrastruktur sokongan seperti bekalan air, elektrik dan gas.

Dalam masa sama kata beliau, kerajaan negeri mengambil pendekatan berjiwa besar dengan meneruskan perancangan dibuat kerajaan terdahulu.

Disebabkan itu ujar beliau, kerajaan negeri hari ini komited meneruskan projek berimpak tinggi seperti Hab Logistik Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ), Bandar Raya Getah Kedah (KRC),  pembesaran Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

"Kita sering menganggap rakyat akan menilai kononnya kerajaan baharu tidak mempunyai pandangan dan idea baharu. Namun bagi saya, idea baharu bukanlah semata-mata mengilhamkan sesuatu pembangunan sebaliknya idea baharu turut diperlukan dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu  isu yang selama ini menemui jalan buntu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas sempena 100 Hari Pentadbiran Kedah Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.
 

aaa
Muhammad Sanusi Md. Nor (barisan depan 5 dari kiri) bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan parti politik yang hadir ke Majlis Sambutan 100 Hari Pentadbiran Kedah Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini. - DagangNews


Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, barisan exco serta kepimpinan parti politik dan pentadbiran negeri.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang membawa Wawasan Kedah 2035 bagi dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), RMK-13, dan RMK-14 demi membawa perubahan kepada landskap sosio-ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri pada masa ini memberi tumpuan kepada pelaburan domestik (DDI) ketika pelaburan asing agak berdepan cabaran ekoran ancaman COVID-19 di seluruh dunia.

"Dasar ini akan dipertanggungjawabkan kepada Invest Kedah Berhad (IKB) dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan negeri lain termasuk Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia," katanya.

Sementara itu beliau berkata, sektor pelancongan di negeri ini menerima impak yang amat serius ekoran penularan COVID-19 terutamanya dari aspek kemasukan pelancong dalam dan luar negara.

"Kejatuhan bilangan pelancong terutamanya dari luar negara dianggarkan mencatat kejatuhan hampir 65%. Setakat Ogos 2020, hanya kira-kira sejuta saja pelancong yang masuk ke Langkawi dengan kebanyakannya adalah pelancong domestik.

"Justeru kita mengambil pendekatan baharu dengan menggerakkan promosi yang menyasarkan pelancong domestik termasuk menerusi program Youtube 'Redah Kedah'. Langkah ini dijangka menarik minat pelancong golongan muda kerana pendekatannya bersifat mesra belia," katanya.

Beliau dalam pada itu memberi komitmen untuk memperkasakan fungsi Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) termasuk menerusi penyediaan dan penyelarasan pembiayaan perniagaan.

"UPUK juga akan diperkasakan fungsinya menjadi satu platform kolaborasi sesama badan penyedia pembiayaan yang bertujuan memudah cara sebarang urusan berkaitan terutamanya kepada usahawan-usahawan mikro," katanya. - DagangNews.com

aaa
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor  (barisan depan empat dari kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan barisan exco kerajaan negeri menunjukkan buku ringkasan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang dilancarkan sempena 100 Hari Pentadbiran Kedah Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini. - DagangNews