Kedudukan fiskal terhad, mungkin jejaskan sektor pembinaan | DagangNews Skip to main content

Kedudukan fiskal terhad, mungkin jejaskan sektor pembinaan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Tumpuan kerajaan untuk menangani situasi semasa pandemik COVID-19 dijangka meminggirkan sektor pembinaan di negara ini. 

 

Tambahan pula, dengan pakej rangsangan ekonomi yang diagihkan kerajaan menyaksikan paras hutang kerajaan semakin meningkat sekali gus mengehadkan sebarang perbelanjaan pembangunan. 

 

Berdasarkan anggaran Kenanga Research, nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan mencecah 64.8% menjelang hujung tahun ini, berbanding had statutori, 60%. 

 

Penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen berkata, secara dasarnya, kedudukan fiskal yang lemah ini boleh memberi kesan kepada sektor tersebut.

 

Dengan melihat kedudukan fiskal, katanya, kemungkinan pelancaran projek akan lebih perlahan dan dalam jumlah yang kecil. 

 

"Malah, kerajaan mungkin akan bergantung kepada kontraktor untuk menggunakan sepenuhnya dana sedia ada, contohnya inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

 

"Kami berpendapat, senario ini adalah kurang mesra kepada pemain sektor pembinaan. Malah, sekiranya pandemik ini berlarutan, keyakinan terhadap sektor ini semakin berkurangan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sejak pandemik ini bermula Mac 2020, kerajaan telah menyuntik RM81 bilion secara langsung di bawah pakej bantuan COVID-19.

 

Ketika ini, perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh sedang dikuatkuasakan di bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara sejak 1 Jun lalu.

 

Ini menyaksikan kebanyakan tapak binaan dihentikan kecuali melibatkan beberapa kerja yang dibenarkan beroperasi dengan maksimum kapasiti 60%.

 

Joe Shen menyifatkan, situasi ini akan terus menghimpit keadaan kewangan syarikat kontraktor sedia ada terutama dari segi pendapatan bagi tahun ini.

 

Menurutnya, terdapat beberapa projek yang sepatutnya sudah berjalan juga ditangguhkan antaranya, pemberian tender bagi projek Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

 

"Bagi projek ini, tender sepatutnya dikeluarkan pada Ogos tetapi telah ditangguhkan. 

 

"Selain itu, projek Pan Borneo Sabah juga masih belum mempunyai sebarang perkembangan terkini setelah kerajaan negeri dilaporkan mahu melaksanakan projek ini secara PFI," tambahnya.

 

Mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS), katanya, Singapura telah mengeluarkan pakej kerja bernilai SGD1.1 bilion berbanding Malaysia yang dilihat masih 'melengah-lengahkan' penganugerahan projek ini.

 

"Untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pula, masih wujud perbalahan antara kerajaan negeri dan persekutuan berhubung penjajaran terakhir laluan ini," jelasnya.

 

Kenanga Research bagaimanapun mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor pembinaan dan yakin ia akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi apabila kadar vaksinasi meningkat. - DagangNews.com