Kehadiran 3,700 pekerja asing dijangka bantu V.S Industry penuhi tempahan semasa | DagangNews Skip to main content

Kehadiran 3,700 pekerja asing dijangka bantu V.S Industry penuhi tempahan semasa

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - AmInvestment Bank Research menjangkakan V.S Industry Berhad akan menerima kehadiran 2,000 pekerja dari Myanmar pada hujung FY22F dan tambahan 1,700 pekerja menjelang September 2022.

 

Firma itu berkata, tambahan 3,700 pekerja itu membolehkan kumpulan itu memenuhi tempahan semasa yang diperoleh sehingga Disember 2022. 

 

"Bagaimanapun, gangguan rantaian bekalan kekal menjadi cabaran utama kepada operasi kumpulan.

 

"Kumpulan itu terus berhati-hati dengan pengurusan inventorinya, terutamanya melibatkan komponen papan litar bercetak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Unjuran hasil sebanyak RM4.8 bilion bagi FY23F adalah selaras dengan julat panduan pengurusan antara RM4.5 bilion hingga RM4.8 bilion.

 

Firma itu berkata, keputusan audit semakan bebas terhadap amalan buruh oleh PwC Consulting dijangka siap pada pertengahan Julai ini.

 

"Kami menjangkakan semua berjalan dengan baik kerana pihak kumpulan dilihat sangat proaktif dalam menangani isu berkaitan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Semakan audit itu bermula pada 3 Mac 2022 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 4 bulan," katanya.

 

Walaupun firma itu yakin dengan situasi buruh semasa yang semakin baik, namun mereka kekal berhati-hati dengan cabaran yang hadir daripada COVID-19 dan konflik Rusia-Ukraine.

 

"Ini termasuk gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan tinjauan stagflasi, yang membawa kepada permintaan yang lebih lemah," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.27. - DagangNews.com