Kehilangan Jack Ma cetus tanda tanya | DagangNews Skip to main content

Kehilangan Jack Ma cetus tanda tanya

 

 

HONG KONG 6 Jan. - Permulaan tahun baharu yang 'kurang baik' buat individu paling kaya di China, Jack Ma walaupun syarikat e-dagang yang diasaskannya melonjakkan kekayaannya ketika dunia bergelut dengan pandemik COVID-19. 

 

Pengasas syarikat teknologi Alibaba dan Ant Group itu dilaporkan tidak membuat sebarang penampilan mahupun hantaran di media sosial sejak akhir Oktober lalu, iaitu kira-kira seminggu sebelum penyenaraian Ant Group disekat oleh pengawal selia di China. 

 

'Kehilangan' Ma mendapat liputan meluas media antarabangsa sejak minggu lalu apatah lagi ia turut dikaitkan dengan kritikannya terhadap sistem kewangan di negara kuasa kedua ekonomi dunia itu. 

 

Memetik laporan CNN Business, Ant Group telah mengalami perubahan ketara. Syarikat itu sepatutnya membuat penampilan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dunia, tetapi kini apa yang berlaku hanyalah rombakan sebahagian besar perniagaannya. 

 

Pengawal selia China telah mengkritik syarikat tersebut kerana mengetepikan pesaing daripada pasaran dan menafikan hak pengguna manakala Alibaba pula didakwa atas tingkah laku monopoli. 

 

Minggu lalu, Wall Street Journal melaporkan Beijing mahu mengecilkan empayar Ma dan berpotensi mengambil pegangan yang lebih besar dalam perniagaannya, dengan memetik penasihat dan jurucakap rasmi China yang rapat dengan perkara itu.  

 

Malah, dilaporkan Ma juga tidak menghadiri pertunjukan bakat Afrika yang diwujudkannya, menurut Financial Times

 

Akhbar itu berkata, Ma kemudiannya digantikan sebagai juri pada November lalu ketika rakaman episod akhir Africa's Business Heroes, sebuah pertandingan televisyen untuk usahawan.  

 

Alibaba pada Isnin memberitahu CNN Business, yang hartawan itu 'terlepas episod akhir disebabkan konflik jadual'. Bagaimanapun, syarikat teknologi itu tidak memberi sebarang komen lanjut. 

 

Ma memilih untuk tidak mahu menonjolkan diri di China sejak sekian lama, menurut Duncan Clark, yang juga penulis Alibaba: The House that Jack Ma Built dan pengasas firma pelaburan BDA China. 

 

Duncan berkata, Beijing mahu naratif mengenai IPO Ant mendominasi perbualan awam dan syarikat itu pula sedar ia tidak akan membantu untuk mendapatkan 'kepelbagaian pendapat' berhubung isu tersebut.  

 

Secara dasarnya, Ma tidak lagi memegang jawatan eksekutif atau berada di peringkat lembaga pengarah di salah satu syarikat yang diasaskannya. 

 

Beliau melepaskan jawatan pengerusi eksekutif pada 2019, tetapi masih merupakan pemegang saham individu terbesar dengan hampir 5% atau kira-kira AS$25 bilion. 

 

Kekayaan bersih hartawan berusia 56 tahun itu, menurut Forbes, adalah AS$58.4 bilion. - DagangNews.com