KUALA LUMPUR 27 Julai - Pendapatan syarikat perladangan Malaysia akan berdepan tekanan pada separuh kedua 2022 di tengah-tengah pembetulan harga minyak mentah, kenaikan kos baja dan impak gaji minimum.
Ini mendorong Maybank Investment Bank (IB) mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan buat masa ini.
Bagaimanapun, penganalisisnya, Ong Chee Ting berkata, harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah yang tinggi dijangka memacu keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras yang lebih tinggi pada suku kedua 2022.
Beliau juga menjangkakan pemain hiliran yang berpangkalan di Malaysia akan mendapat manfaat daripada larangan dan sekatan eksport Indonesia pada suku berkenaan.
"Syarikat minyak sawit huluan dengan pendedahan yang lebih tinggi di Malaysia secara amnya akan menyaksikan prestasi lebih baik daripada mereka yang mempunyai pendedahan di Indonesia yang lebih tinggi.
"Ini disebabkan oleh struktur cukai eksport yang progresif, sekatan eksport dan obligasi pasaran domestik (DMO) yang dikenakan sejak akhir Januari 2022," katanya dalam nota kajian.
Kerajaan Indonesia baru-baru ini mengumumkan pengecualian levi eksport ke atas minyak sawit dan produk minyak sawit berkuat kuasa 15 Julai hingga 31 Ogos 2022 selepas mengenakan larangan eksport selama tiga minggu.
Keputusan itu dibuat dalam usaha kerajaan Indonesia untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan inventori yang tinggi.
Chee Ting berkata, industri minyak sawit dijangka menyaksikan pertumbuhan PATMI teras bagi suku ke-10 berturut-turut pada musim kewangan suku kedua ini didorong harga spot minyak sawit mentah yang lebih tinggi pada purata RM6,552 satu tan metrik.
"Harga minyak sawit mentah dan isirong sawit yang lebih tinggi dijangka lebih daripada mengimbangi keluaran pada suku kedua yang lebih lemah di mana statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendedahkan penurunan keluaran sebanyak 5% tahun ke tahun di peringkat nasional (+18% suku ke suku mengikut musim)," katanya.
Namun, katanya, margin bagi penapisan dan oleokimia dijangka kekal pada suku kedua 2022.
Secara keseluruhan, saham pilihan utamanya bagi sektor perladangan ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd. dan IOI Corp. Bhd. dengan masing-masing diberi saranan 'beli' pada harga sasaran RM21.80 dan RM4 sesaham. -DagangNews.com