KUALA TERENGGANU 20 Nov - Kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Terengganu yang menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam adalah bukti bahawa rakyat terutama anak muda mahukan barisan kepimpinan yang lebih berintegriti dan bersih dari sebarang skandal rasuah.
Dari lapan kerusi itu, Pas menang di tujuh Parlimen iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut dan Kuala Nerus manakala satu lagi menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu di Parlimen Hulu Terengganu.
Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kejayaan PN meraih majoriti yang jauh lebih besar hingga 30,000 dan 40,000 di beberapa kerusi Parlimen juga adalah bukti berlakunya tsunami orang Melayu.
Menurutnya, rakyat lebih mempercayai barisan kepimpinan PN kerana sentiasa konsisten menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam urus tadbir kerajaan selama ini.
"Secara tidak langsung, ia adalah satu signal bahawa rakyat sangat mahukan perdamaian dan Muafakat Nasional yang menjamin kesejahteraan, keadilan dan kemakmuran negara.
"Rakyat tidak mahu lagi pemimpin yang ada terpalit dengan salah guna kuasa dan PRU15 semalam membuktikan berlakunya penolakan besar-besaran orang Umno terhadap Presiden mereka iaitu Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Tambahnya lagi, Pas adalah sebuah parti yang sangat terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan ia membawa kebaikan kepada umat Islam, agama dan kebajikan rakyat keseluruhannya.
"Sejak dulu lagi, Pas sangat konsisten dengan penyatuan ummah untuk menghulurkan tangan persahabatan dengan Umno, namun ditolak secara keras oleh Ahmad Zahid.
"Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab dengan kekalahan itu kerana beliau mengenakan pelbagai syarat yang mustahil untuk Pas laksanakan sekiranya mahu bergabung dengan Umno.
"Natijahnya, beliau telah dihukum dengan berat oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
"Saya mewakili Pas Terengganu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberi kepercayaan besar ini kepada Pas untuk mewujudkan komuniti yang lebih maju, berkat dan sejahtera," katanya lagi.
Keputusan PRU15 semalam menyaksikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tewas di Kemaman manakala bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula tewas di Kuala Nerus.
Kubu kuat Umno, iaitu Besut yang sebelum ini disandang oleh Tan Sri Idris Jusoh juga berjaya dirampas PN dalam PRU15 semalam setelah calon BN, Datuk Nawi Mohamad tewas kepada calon Pas yang juga mantan hakim, Datuk Che Zulkifli Jusoh. - DagangNews.com