Kekal saranan ‘beli’ saham Daibochi - MIDF | DagangNews Skip to main content

Kekal saranan ‘beli’ saham Daibochi - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ saham Daibochi Berhad dengan sasaran harga (TP) dinaikkan kepada RM2.94 daripada RM2.92. 

 

TP itu dinaikkan dengan mengekalkan nisbah harga perolehan (PER) 19.0x kepada perolehan sesaham (EPS) FY22 sebanyak 15.5 sen setiapnya. 

 

“Melangkah ke hadapan, kami melihat prospek Daibochi memberangsangkan, didorong oleh inisiatif pengembangan kapasiti yang melonjakkan pengeluaran kumpulan syarikat. 

 

“Selain itu, ini berdasarkan peningkatan kategori produk baharu dalam segmen makanan dan minuman (F&B) serta barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) selain pangkalan pengguna lebih besar di Asia Tenggara dan Oceania,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Bagaimanapun, firma penyelidik itu masih berhati-hati terhadap risiko penurunan jangkaan yang dibuat iaitu harga bahan mentah yang kian meningkat. 

 

Semalam, perolehan Daibochi mencatatkan nilai RM12.8 juta pada suku pertama 2021 (1Q21) berakhir 31 Oktober 2020. 

 

Nilai itu melonjak lebih tinggi iaitu 16.5% berbanding tempoh sama pada tahun lalu, RM11.0 juta. 

 

Ini didorong oleh jualan lebih tinggi kepada jenama pengguna utama. 

 

Sebahagian daripada perancangan pengembangan Daibochi, kumpulan syarikat itu baru-baru ini memperoleh mesin cetak, laminasi dan pengemasan baharu.

 

Inisiatif pengembangan yang bernilai RM100 juta itu dalam landasan betul untuk mencapai kapasiti pengeluaran sehingga 60%. 

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan syarikat itu tidak mengisytiharkan pemberian dividen pada suku tahun berkenaan. 

 

Bagaimanapun, pihak berkepentingan Daibochi telah meluluskan cadangan pembayaran dividen akhir sebanyak 3.0 sen sesaham pada FY20 dan akan dibayar pada 15 Januari 2021. 

 

Dicampur dengan pembayaran dividen interim sebelum ini sebanyak 2.0 sen sesaham, jumlah keseluruhannya bagi FY20 bernilai 5.0 sen sesaham. - DagangNews.com