Kekalahan teruk BN pada PRN 2023 bukti undi Melayu beralih kepada PN | DagangNews Skip to main content

Kekalahan teruk BN pada PRN 2023 bukti undi Melayu beralih kepada PN

Oleh Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) di 6 negeri telah menyaksikan keputusan seri dirakamkan antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, dengan masing-masing memenangi tiga negeri yang sama ditadbir sebelum ini.

 

Kedua-dua gabungan utama yang bertanding dalam PRN gagal untuk menawan sekurang-kurangnya satu negeri tambahan di mana sebelum ini PH-BN menyasarkan Kedah, dan PN menyasarkan Selangor.

 

Kerjasama dan usaha yang dibuat antara PH-BN sebagai kerajaan persekutuan juga seolah-olah dilihat tidak memberi kesan kepada pengundi yang tinggal di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

 

Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan majoriti pengundi di tiga negeri tersebut tidak cenderung kepada Kerajaan Madani ketika ini.

 

Biarpun keputusan PRN ini secara dasarnya dilihat kekal dengan status quo di mana tiga negeri kekal ditadbir PN dan tiga lagi di bawah PH-BN, setelah diperhatikan terdapat dua parti yang menjadi faktor kepada keadaan ini berlaku.


 

parafrasa

 


Faktor yang pertama, penguasaan parti DAP di mana mereka menang 97.9 peratus kerusi-kerusi yang mereka bertanding dan menunjukkan bahawa pengundi mereka tidak berpaling tadah meskipun terpaksa ‘berkongsi katil’ bersama UMNO-BN.

 

Rata-rata calon DAP berjaya menepati ramalan apabila tidak menghadapi sebarang masalah apabila dengan mudah menguasai 19 kerusi DUN di Pulau Pinang, 15 kerusi DUN di Selangor dan 11 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

 

Angka ini jelas menunjukkan mereka menjadi tunjang utama dalam kemenangan parti gabungan PH-BN.

 

Bila diperhatikan sebelum berlangsungnya PRN ini, parti DAP merupakan satu parti yang cukup tenang dengan hampir tiada sebarang kontroversi atau pengaruh negatif yang dikaitkan dengan mereka.

 

Apa yang menjadi fokus utama mereka, bagaimana mereka mahu mendapatkan kepercayaan golongan sasaran mereka, dan perkara itu jelas terbukti melalui keputusan dalam PRN kali ini.

 

Apa yang dapat dilihat ketika ini juga, BN yang diketahui umum merupakan parti paling dominan dari zaman nenek moyang sebelum ini kelihatan semakin hilang punca dan arah tuju sehingga dianggap sudah tidak lagi relevan pada pengundi majoriti Melayu.

 

Hal ini dapat disaksikan apabila BN mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya mampu menang 19 daripada 108 kerusi sekali gus bermakna parti itu kalah 82 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi yang ditandingi.


 

parafrasa

 


Apa yang perlu dilakukan pemimpin BN ketika ini iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat dengan konsep mengutamakan suara rakyat dan bukannya pemimpin semata-mata jika tidak mahu parti itu terus dilupakan.

 

Faktor kedua, penguasaan yang begitu dominan PN-PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah hinggakan tiada pembangkang di Terengganu menunjukkan pengundi majoriti Melayu mula beralih arah kepada PN-PAS sebagai parti orang Melayu.

 

PRN kali ini menyaksikan PAS berjaya meninggalkan jauh pesaing-pesaing lain parti politik termasuk rakan sekutu dalam Perikatan Nasional.

 

PAS berjaya menyapu bersih 32 kerusi yang dipertandingkan di Terengganu dan meraih 43 kerusi DUN di Kelantan, biarpun tumpas kepada Barisan Nasional di N45 Galas dan di N09 Kota Lama kepada Pakatan Harapan.

 

Di Kedah, PAS menyumbang sejumlah 22 kerusi sehingga membolehkan PN menang di 33 kerusi setelah menggabungkan kemenangan Bersatu di 10 kerusi dan Gerakan dengan satu kerusi.

 

Negeri-negeri lain juga turut menyaksikan kemenangan PAS di negeri Selangor sebanyak 10 kerusi, Pulau Pinang 7 kerusi dan Negeri Sembilan 3 kerusi.

 

Berbanding rakan-rakan sekutu PAS yang lain dalam PN, ternyata parti ini menang bergaya dengan defisit yang besar di mana mereka menakluki 117 kerusi DUN secara keseluruhannya berbanding Bersatu yang hanya menang di 28 kerusi dan Gerakan dengan 1 kerusi.


 

parafrasa

 


Persoalan yang terlintas ketika ini adalah, apakah faktor yang menjadikan undi orang Melayu beralih kepada PAS?

 

Tidak salah untuk saya katakan fenomena yang paling ketara berlaku ketika ini adalah fenomena ‘tsunami hijau’.

 

Pengundi Melayu telah menunjukkan mereka enggan menyokong lagi parti yang dianggap kotor dan lebih memilih untuk menerima politik konservatif berteras agama yang diperjuangkan PAS.

 

Mungkin juga imej BN yang sering dikaitkan dengan 'kluster mahkamah' dan pemimpin yang berdepan dengan dakwaan rasuah atau pecah amanah, memainkan peranan kepada perubahan pengundi yang mahukan parti berpandukan teras kepimpinan Melayu yang lebih bersih.

 

Tidak dinafikan PAS dan DAP juga menunjukkan mereka berada di dalam kelas tersendiri dengan prestasi yang cukup memberangsangkan pada PRU15 yang lalu dengan PAS memperoleh 49 jumlah kerusi dan DAP dengan 40 jumlah kerusi iaitu dua tertinggi diperoleh mana-mana parti tunggal pada pilihan raya umum tersebut.

 

Tuntasnya, BN perlu segera melakukan reformasi dalam corak kepimpinan mereka ketika ini jika tidak mahu pengundi Melayu terus hilang kepercayaan kepada mereka yang boleh mengakibatkan parti tersebut terkubur begitu sahaja pada akhirnya. - DagangNews.com

 

Muhammad Syafi Fauzan Bin Saifuddin adalah Mahasiswa Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka