Kekurangan cip global dijangka berterusan sehingga 2023 | DagangNews Skip to main content

Kekurangan cip global dijangka berterusan sehingga 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Jun - Sektor teknologi dijangka menyaksikan pertumbuhan sehingga 2023 dengan trend persetempatan makin giat berkembang.

 

Ini membolehkan AmInvestment Bank Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor berkenaan.

 

Firma itu menjangkakan kekurangan cip global akan berterusan sehingga tahun hadapan apabila industri meningkatkan pengembangan kapasiti.

 

Tambahan pula, katanya, dengan pandemik mendedahkan kelemahan rantaian bekalan global, semakin banyak negara akan mengukuhkan pengeluaran semikonduktor tempatannya.

 

"Memandangkan China merupakan pengguna dan pengimport semikonduktor terbesar dunia, kami berpendapat negara akan menjadi lebih agresif dari segi pengembangan kapasiti bagi memenuhi bekalan 70% permintaan cip tempatan menjelang 2025, meningkat daripada 17% pada 2021," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut AmInvestment, ketidakseimbangan bekalan-permintaan untuk cip automotif masih kekal kritikal.

 

Katanya, dari segi segmen pengguna akhir, ia terus menyaksikan kekurangan cip yang teruk dalam segmen automotif.

 

"Dilaporkan, beberapa pembuat kereta di Amerika Syarikat (AS) menghantar kenderaan dengan fungsi dan ciri yang lebih sedikit, dan komited untuk memasang cip kepada pemandu apabila bekalan lebih mudah didapati.

 

"Oleh itu, kami kekal yakin dengan syarikat yang mempunyai campuran jualan yang cenderung ke arah segmen automotif," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu meletakkan Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) sebagai pilihan utama bagi sektor teknologi.

 

Dengan memberi nilai wajar pada RM45.16 sesaham, ia yakin dengan fokus MPI untuk menjadi rakan kongsi global bagi pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) untuk segmen automotif.

 

Pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022, segmen automotif merangkumi 38% daripada hasil kumpulan.

 

"Prospek MPI semakin cerah dengan pelaburan awalnya dalam produk kuasa silikon karbida dan galium nitrida dengan aplikasi dalam kenderaan elektrik, pelayan, tenaga boleh diperbaharui dan alat pengguna.

 

"Malah, kedudukan baki tunai bersihnya juga kukuh (12% daripada permodalan pasaran) untuk menyokong pelaburan strategik, peluang usaha sama atau melaksanaan pengambilalihan dan penggabungan (M&A) serta  pengembangan dalam pelaburan baharu," jelasnya. - DagangNews.com