Kekurangan pekerja lebih parah berbanding penurunan harga sawit global | DagangNews Skip to main content

Kekurangan pekerja lebih parah berbanding penurunan harga sawit global

sektor sawit

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Masalah kekurangan pekerja atau tenaga buruh dalam sektor sawit negara adalah lebih parah berbanding penurunan harga sawit di peringkat global.

 

Khazanah Research Institute (KRI) berkata, kekurangan tenaga buruh memberi risiko kepada jumlah pengeluaran.

 

"Sektor kelapa sawit adalah antara sektor yang paling terdedah kepada masalah kekurangan tenaga buruh berpunca beberapa faktor khususnya pandemik COVID-19.

 

"Pengurangan tenaga buruh sebanyak 30% daripada paras semasa akan menyebabkan pengeluaran menurun hampir separuh.

 

"Jika pengurangan mencecah 80%, ia akan menyebabkan keruntuhan sistem kerana pengeluaran hanya mencapai satu perlima daripada paras biasa atau Business As Usual (BAU) level," jelas nota kajian itu.

 

Peratusan tersebut diperoleh hasil kajian terbaharu KRI iaitu 'Implications of the Dominant Shift to Industrial Crops in Malaysia: System Dynamic Model of Industrial Crops'.

 

Mengulas lanjut, KRI berkata, industri perlu mematuhi dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 agar dapat menghindari penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.

 

"Industri perlu mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, memperbaiki kediaman pekerja dan menerapkan pendigitalan untuk mengurangkan penggunaan tenaga kerja dalam beberapa proses pengeluaran.

 

"Sektor kelapa sawit akan berdepan dengan paras siling keluasan tanah untuk kelapa sawit yang dihadkan seluas 6.5 juta hektar menjelang 2023.

 

"Kajian KRI juga mendapati sokongan pembangunan ke atas pekebun kecil akan memberi impak yang lebih besar kepada pulangan satu hektar berbanding ladang," tambah KRI.

 

Peralihan besar kepada penanaman kelapa sawit memacu pulangan yang tinggi komoditi berbanding getah dan koko. - DagangNews.com