Kelajuan muat turun median 5G Malaysia antara terpantas di dunia, menurut Ookla | DagangNews Skip to main content

Kelajuan muat turun median 5G Malaysia antara terpantas di dunia, menurut Ookla

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Dis - Malaysia menduduki tempat ketiga bagi kelajuan median muat turun 5G global, menurut laporan Ookla.

 

Berdasarkan laporan State of Worldwide Connectivity pada 2023, median kelajuan muat turun 5G Malaysia pada suku ketiga tahun ini ialah 485.24 Mbps, yang menurut firma analitik prestasi capaian Internet itu adalah "menarik".

 

"Walaupun baru melancarkan rangkaian 5G di seluruh negara kurang dua tahun lalu, strategi penggunaan tidak konvensional Malaysia telah terbukti berkesan," katanya.

 

Ookla menyatakan bahawa prestasi 5G bagi 10 negara teratas menyaksikan perubahan ketara dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengatasi Korea Selatan untuk berada di kedudukan teratas.

 

Malaysia, India dan Republik Dominican turut mencapai kemajuan yang ketara, mempamerkan anjakan dinamik dalam landskap 5G global.

 

Ookla berkata, India mencapai kelajuan muat turun median 5G sebanyak 312.26 Mbps, meletakkannya di tempat ke-10 di seluruh dunia.

 

Pada skala global, kelajuan muat turun median 5G mengalami peningkatan yang ketara sebanyak 20% pada suku ketiga tahun ini, mencapai 203.04Mpbs, berbanding 168.27Mbps pada suku ketiga tahun lalu. - DagangNews.com